AM

PERTANDINGAN PIDATO PLATFORM TERBAIK MURID, PELAJAR HAYATI RUKUN NEGARA

12/09/2024 08:14 PM

MELAKA, 12 Sept (Bernama) -- Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka boleh menjadi platform terbaik kepada murid dan pelajar menghayati asas Rukun Negara.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy berkata menerusi pertandingan tersebut ia memberi peluang kepada murid dan pelajar yang menyertainya menyusun cara hidup mereka berteraskan lima prinsip Rukun Negara.

"Mereka boleh mengamalkan prinsip Rukun Negara untuk dihayati sekali gus memberi peluang kepada generasi muda memahami latar belakang Rukun Negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan akhir pidato tersebut di sini hari ini.

Pertandingan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman yang mewakili Ketua Menteri Melaka dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Sementara itu, Ngwe berkata sebanyak 3,755 peserta menyertai pertandingan pidato itu yang diadakan secara tahunan sejak 2021.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,716 peserta bagi kategori sekolah rendah (bergandingan), sekolah menengah (bergandingan)(1,808), institut pengajian tinggi (88), awam (58) dan bukan Melayu (85).

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan