AM

MENGIMBAU KENANGAN PERPADUAN MASYARAKAT PELBAGAI KAUM KAMPUNG DODOL

13/09/2024 11:47 AM

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN, 13 Sept  (Bernama) -- Tidak ramai menyedari, perkampungan yang terletak di tengah-tengah pembangunan pesat Pulau Mutiara ini sejak lebih satu abad sebenarnya menyimpan 1,001 kisah "nikmat perpaduan" yang tersemai utuh dalam kalangan penduduk. 

Mula wujud pada 1876, perkampungan tertua di negeri ini yang berkeluasan kira-kira 14 hektar dan terletak di Jalan Perak di sini, bagaimanapun sering kali dianggap sebagai perkampungan milik orang Melayu berikutan namanya itu serta rupa bentuk kebanyakan rumah di situ yang berlatarkan warisan kemelayuan.

Walhal, menurut cerita penduduk yang mewarisi penempatan berkenaan daripada generasi sebelumnya, nama dodol diberikan berikutan terdapatnya golongan India Muslim (mamak) menjual dodol secara kecil-kecilan di situ, sekali gus membuktikan bahawa kampung itu tidak hanya dihuni masyarakat Melayu semata-mata. 

Akan tetapi juga, perkampungan warisan ini turut menjadi medan menyaksikan pengukuhan keharmonian berbagai-bagai kaum apabila turut didiami masyarakat Cina mahupun sebilangan kecil kaum India serta Sikh (Benggali) dan istimewanya, tiada sempadan memisahkan mereka.

Dianggap sebagai ahli keluarga sendiri, anak Ah Leng mahupun anak Salmah serta anak Gopal, semuanya dilayan persis anak sendiri bahkan tidak ada bezanya, cerita penduduk asal Md Noor Din, 68, ketika mengimbau kembali nikmat keharmonian yang dikecapi ketika itu di Kampung Dodol. 

Malah, lelaki ini mengakui masih segar dalam ingatannya, penghuni Cina pada ketika itu yang hanya sekitar lima keluarga dan mengusahakan kedai runcit, telah banyak membantu orang Melayu di situ mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang tidak terlalu mahal biarpun berada jauh dari pekan. 

“Kaum Cina tinggal di sini (Kampung Dodol) dari zaman datuk nenek mereka lagi dan bercampur dengan orang Melayu sejak itu. Sebelah rumah saya dahulu pun, ada buka kedai (Cina), Ah Kaw kemudian turun kepada anaknya Ah Wee, kami sudah macam adik-beradik, ambil berat satu sama lain, bersatu hati dan tidak pernah bersengketa.

"Keakraban kami sampai boleh keluar masuk rumah macam itu sahaja, cakap dah macam orang Melayu, belajar agama dan baca al-Quran pun pandai. Mereka belajar daripada (arwah) mak mentua saya, Aminah Yassin sebab ketika itu dia mengajar orang mengaji," katanya kepada Bernama. 

Nikmat perpaduan juga, menurut bekas tentera ini turut terserlah setiap kali menjelangnya musim perayaan apabila mereka bersama-sama menyambutnya sebagai sebuah keluarga dengan pelbagai juadah tradisional sementara malamnya pula, meriah bermain bunga api tanpa lokek berkira siapa membelinya. 

Begitu juga jika ada kenduri-kendara di Kampung Dodol, "gamat satu kampung" keriangan sambutannya, bahkan boleh dikatakan almari penghuni Cina mahupun India, pastinya mempunyai sepersalinan baju Melayu atau baju kurung yang tersemat rapi untuk digayakan setiap kali majlis keraian berlangsung. 

Bagaimanapun, semua itu menurut Md Noor hanya tinggal kenangan terindah yang akan diingati sehingga akhir hayat kerana suasananya sudah tidak lagi sama seperti dahulu berikutan kebanyakan generasi selepas itu sudah berhijrah ke tempat lain selepas berkahwin.

Justeru, timbul kebimbangan dalam diri seorang lagi penduduk asal Kampung Dodol, Haminah Hassan, 82, sekiranya suatu hari nanti kampung warisan yang penuh nilai sejarah ini akan lenyap apatah lagi dengan pembangunan pesat di sekelilingnya. 

Namun, bagi Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali, nikmat perpaduan itu masih lagi utuh dalam kalangan mereka biarpun suasana kemeriahannya tidak lagi seperti dahulu. 

"Selain kedai runcit, ada juga tanah yang dipajak oleh orang Cina di hujung kampung ini yang dibuat kebun sayur membolehkan orang kampung tidak perlu ke pasar membeli sayur.

”Ada juga penduduk India, Sikh jual kain dan kami tak pernah ada masalah, malah anak-anak mereka juga bercampur dengan orang Melayu," katanya yang juga merupakan penduduk asal Kampung Dodol. 

Buat masa ini, terdapat sembilan pemilik asal tanah di Kampung Dodol sementara sebahagiannya telah diwakafkan seperti Tanah Wakaf Wan Chik Ariffin, Tanah Wakaf Hashim Yahaya dan Tanah Wakaf Kapitan Keling.

“Mengikut rekod, Kampung Dodol adalah antara 22 perkampungan sahaja yang masih wujud di Pulau Pinang daripada 250 kampung yang ada di bahagian pulau manakala yang lain sudah lenyap disebabkan pembangunan,” katanya.

Mungkin Kampung Dodol yang ada secara eksplisitnya tidak mempunyai nilai material dalam nota wang ringgit, namun nilai warisannya yang tinggi wajar dipertahankan kampung tradisional ini untuk generasi akan datang dan usaha ke arah itu dikenal pasti mempunyai prospek tinggi pelancongan jangka panjang.

--  BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan