EKONOMI

KIA ASIA PACIFIC TINGKATKAN KEDUDUKAN DENGAN BUKA PUSAT LATIHAN DI SHAH ALAM

13/09/2024 01:31 PM

SHAH ALAM, 13 Sept (Bernama) -- Kia Asia Pacific Sdn Bhd mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dengan membuka pusat latihan di Glenmarie, Shah Alam, merupakan pusat latihan kelimanya selepas Jerman, Rusia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kevin Ahn berkata penubuhan ibu pejabat serantaunya di sini menunjukkan keyakinannya terhadap Malaysia yang penting untuk mempopularkan kenderaan elektrik dan kenderaan elektrik berkuasa bateri serta perkhidmatan mobiliti lain.

“Pusat Latihan Kia Asia Pacific akan menerajui dalam menggalakkan budaya inovasi dan perkhidmatan cemerlang di rantau ini.

“Pusat ini akan menyokong anak syarikat dan pengedar, jualan serta selepas jualan dengan latihan automotif berkualiti tinggi, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang penting secara menyeluruh untuk industri automotif yang semakin berkembang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan pusat latihan itu di sini hari ini.

Ahn berkata Malaysia dipilih daripada 34 pasaran di APAC berikutan lokasinya yang strategik.

“Kumpulan bakat Malaysia yang pelbagai dan penguasaan bahasa yang baik mengukuhkannya sebagai pilihan ideal untuk hab latihan kami,” katanya.

Pusat latihan itu menawarkan pelbagai kemudahan terkini termasuk bilik darjah berteknologi tinggi, bengkel yang lengkap, pusat sumber berkomputer untuk maklumat kenderaan Kia, simulator pembaikan maya dan alatan khusus seperti peralatan diagnostik Kia.

Model utama Kia terkini termasuklah EV6 dan EV9 serta model akan datang seperti EV5 dan EV3 juga disediakan untuk latihan amali.

“Kemudahannya yang canggih dan metodologi latihannya mencerminkan piawaian global yang ditetapkan oleh syarikat induknya, Hyundai Motor Group.

“Terletak bersebelahan dengan pusat latihan ialah pusat utama Kia 3S yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelatih mengenai senario dunia sebenar untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka.

“Apabila selesai program latihan, peserta akan menerima sijil daripada Kia Asia Pacific, mengesahkan kemahiran dan kepakaran mereka dalam rangkaian global Kia,” katanya.

Ahn berkata pusat latihan itu dapat menampung sehingga 80 pelatih pada satu-satu masa.

“Kami menyasarkan untuk melatih sehingga 3,000 orang setahun untuk menyokong semua 34 negara di rantau Asia Pasifik,” katanya, sambil menambah pembukaan pusat latihan itu akan meningkatkan kepakaran dan inovasi automotif.

“Dengan Malaysia menjadi pemain utama dalam rangkaian latihan global Kia, jenama itu berada dalam kedudukan yang baik untuk memberikan perkhidmatan dan nilai luar biasa kepada pelanggannya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan