AM

RIUH BAH BUKA TIRAI SAMBUTAN HARI MALAYSIA

13/09/2024 08:08 PM

KOTA KINABALU, 13 Sept (Bernama) -- Acara Riuh Bah, Kembara Riuh 2024 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 14 dan 15 Sept, menjadi acara pembuka tirai sambutan Hari Malaysia dan dijangka menarik 35,000 pengunjung hadir.

Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara anjuran Kementerian Komunikasi melalui MyCV itu, akan dimeriahkan dengan kerjasama Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL) dan orang ramai dijemput hadir dan masuk adalah percuma.

“Projek flagship BASKL, Artscursion ini membawa pengunjung ke beberapa destinasi terpilih untuk mendekati seni dan budaya tempatan melalui aktiviti yang dikurasi khas buat mereka seperti ‘boleh masak bah kalau kau’, cookout session serta bandar seni city tour and art jam yang diterajui penggiat seni tempatan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, edisi ke-7 Riuh Bah turut menampilkan artis termasuk Anuar Zain, Estranged, IamNeeta dan artis tempatan Sabah, di samping terdapat penyertaan 70 vendor termasuk makanan dan minuman.

Selain itu, MyCV dalam kenyataan berkata sebanyak empat edisi Kembara Riuh 2024 yang diadakan berjaya menarik kehadiran 150,000 pengunjung dan mencipta 1,708 peluang pekerjaan.

“Acara itu turut menyokong lebih 1,304 pemain industri kreatif tempatan serta menjana jualan usahawan kreatif yang mencecah lebih RM2 juta, inisiatif ini sekali gus meningkatkan nilai industri, mempromosikan produk tempatan serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari media sosial rasmi @riuhinthecity dan @mycreativeventures di Facebook dan Instagram untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan