AM

AGONG BERKENAN TUNAI SOLAT JUMAAT, DENGAR KHUTBAH KHAS SEMPENA HARI ATM KE-91

13/09/2024 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah khas bersempena dengan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-91 di Masjid Khalid Bin Al-Walid di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pukul 1 tengah hari disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Khutbah bertajuk "Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara" itu disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Mej Jen Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Antara lain, khutbah berkenaan menyeru warga ATM menetapkan tekad melaksanakan agenda transformasi ATM agar pembentukan Angkatan Masa Hadapan menjelang 2030 melalui inisiatif Reformasi Angkatan 30 dapat direalisasikan.

Selain itu, ia juga menyeru supaya kemerdekaan dan kedaulatan negara bersama-sama dipertahankan rakyat negara ini selari dengan gagasan Angkatan Masa Hadapan dalam memantapkan kerjasama antara ATM dan orang awam.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan menunaikan solat Jumaat bersama jemaah dan warga ATM yang hadir, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Khalid bin Al-Walid Lt Kol Mohd Nizam Termizi Al-Hafiz dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, majlis bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari ATM yang dipimpin Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kagat Brig Jen Mohamad Hamzah Adam.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan