AM

KEMBARA BERNAMA BIKERS CLUB SEMAI SEMANGAT KEBERSAMAAN, PATRIOTIK

13/09/2024 05:12 PM

MANJUNG, 13 Sept (Bernama) -- Konvoi Bernama Bikers Club (BBC) bukan sekadar menunggang motosikal, tetapi juga membawa semangat kebersamaan dan patriotisme dalam Program Kembara Kasih Hari Kebangsaan@Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung di sini hari ini.

Rombongan warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui BBC yang tiba kira-kira pukul 9 pagi tadi disambut meriah oleh warga SMK Seri Manjung serta lebih 500 pelajar diketuai Pengetua Muhamad Hussaini Abdullah.

BBC disertai 14 peserta terdiri daripada kakitangan Bernama yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sejauh kira-kira 162 kilometer yang bermula di Ibu Pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam program kerjasama dengan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) itu. 

Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain dalam ucapannya berkata pihak pengurusan amat menyokong penubuhan BBC kerana ia boleh mempelbagaikan lagi program dan aktiviti serta mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan petugas.

“Melalui program ini, kita dapat melihat BBC selain menyelaras program dan aktiviti berkaitan tunggangan motosikal, mereka juga mengangkat perkongsian nilai korporat dengan memberi khidmat bantuan kepada masyarakat luar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Sharifah Zaini turut menyentuh mengenai peranan media arus perdana termasuk Bernama yang berperanan penting dalam menyampaikan berita sahih dan berkualiti pada era digital sekarang ini. 

“Di sinilah platform seperti Bernama memainkan peranan yang kritikal. Bernama, melalui saluran seperti Bernama TV dan Bernama Radio, sentiasa memberikan laporan berita terkini, sama ada dalam atau luar negara, yang boleh menjadi rujukan utama sumber maklumat yang tepat dan dipercayai,” katanya. 

Beliau turut menggalakkan para pelajar SMK Seri Manjung untuk memanfaatkan platform-platform di Bernama bagi mengikuti perkembangan semasa serta meningkatkan kefahaman terhadap isu-isu semasa yang diketengahkan agensi berita itu termasuk isu pendidikan, masyarakat dan perpaduan yang relevan untuk pembentukan generasi muda yang berilmu dan berdaya saing.

Turut hadir dalam program itu ialah Eksekutif Kanan YPM Zul Fadlain Abdullah. 

Pada majlis itu, YPM menyumbangkan wang tunai dan barangan kelengkapan sekolah kepada 100 pelajar kurang berkemampuan manakala Bernama melalui Bahagian Perpustakaan Digital menyampaikan beberapa koleksi bahan bacaan kepada perpustakaan SMK Seri Manjung. 

Peserta program turut dihiburkan dengan persembahan menarik termasuk nyanyian patriotik, bicara berirama, silat dan pantun oleh guru dan pelajar SMK Seri Manjung sebelum diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai lagu Jalur Gemilang dan Tanggal 31 Ogos. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan