AM

TIKET INTEGRASI JALINAN KTMB, ERL DILANCAR, MUDAHKAN LAGI PERJALANAN PENGGUNA

13/09/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perjalanan terus menggunakan kereta api dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke utara Semenanjung kini menjadi lebih mudah dengan pelancaran tiket integrasi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata melalui inisiatif terbaharu hasil kerjasama kedua-dua operator rel itu, pengguna hanya perlu membeli satu tiket untuk perjalanan terus menggunakan gabungan tren di bawah kendalian ERL dan KTMB untuk ke destinasi masing-masing.

“Ini bukan sahaja memudahkan urusan pengguna tetapi juga memberikan nilai tambah dari segi penjimatan masa dan kos sambil meningkatkan lagi kecekapan sistem pengangkutan awam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tiket Integrasi ERL dan KTMB di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor.

Tiket integrasi berkenaan mula dijual untuk ke lima stesen KTMB terpilih iaitu Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Bukit Mertajam dan Ipoh menerusi sistem KTMB Integrated Ticketing System (KITS) serta laman sesawang ERL sejak 19 Julai lepas.

Hasbi tidak menolak kemungkinan stesen akan ditambah untuk stesen KTMB di arah selatan Semenanjung seperti Gemas di Negeri Sembilan; Pulau Sebang (Melaka); dan Segamat serta Johor Bahru (Johor) bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan rel sebagai pengangkutan awam.

Sementara itu, Mohd Rani Hisham menjangkakan peningkatan penjualan tiket integrasi akan bertambah dua kali ganda pada bulan ini.

"Jumlah pada Ogos ialah 1,327 dan kami menjangkakan pada September jumlahnya akan berganda. Dengan pelancaran pada hari ini diharapkan penjualan tiket meningkat mendadak. Kolaborasi ini mampu menyediakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pengendali tren,” katanya.

Dalam pada itu, Noormah berkata ERL berhasrat meneroka kebarangkalian mengintegrasikan keseluruhan sistem tempahan tiket KTMB ke dalam ekosistem ERL.

“Pelanggan setia KTMB, mereka kini boleh terus merancang perjalanan ke KLIA Terminal 1 atau Terminal 2 melalui perkhidmatan KLIA Ekspres untuk penerbangan domestik ataupun antarabangsa atas urusan kerja mahupun percutian bersama keluarga,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan