SUKAN

SELANGOR KEKAL BERSIH DI LAMAN SENDIRI, ATASI KUCHING CITY 4-0

13/09/2024 11:55 PM

PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Selangor FC mengekalkan kedudukan sebagai pencabar utama pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menewaskan Kuching City FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.

Kemenangan bersih di laman sendiri musim ini, menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil berada di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 22 mata selepas 10 perlawanan dan hanya tiga mata di belakang JDT yang kurang satu perlawanan.

Babak pertama menyaksikan Selangor menampilkan permainan agresif di awal minit permainan dalam usaha memburu jaringan dengan tumpuan terarah kepada penyerang import baharu Ali Olwan.

Pada minit ke-11 Selangor berjaya membuka tirai jaringan selepas Olwan yang membuat lorongan kepada Ronnie Fernandez cuba dikeluarkan pemain Kuching City Filemon Anyie namun bola yang ditendang melantun ke dalam gawang pasukan pelawat selepas terkena dada Fernandez. 

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan memperkemas permainan untuk memburu jaringan sehingga Selangor hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-55 apabila Alvin Fortes meledak gol ke gawang pasukan lawan namun dinafikan pengadil kerana ofsaid. 

Kekecewaan skuad Gergasi Merah itu bagaimanapun diubati Olwan yang menyudahi gol selepas menerima hantaran Fernandez pada minit ke-67 sebelum Umar Eshmurodov meletakkan Selangor di kedudukan selesa 3-0 selepas menerima sepakan penjuru Yahandry Orozco pada minit ke-75. 

Tidak cukup dengan itu, Selangor terus menambah duka skuad kendalian Aidil Sharin Sahak apabila Fortes sekali lagi meledak jaringan keempat buat pasukannya pada minit ke-80 selepas menerima hantaran lintang Noor Al Rawabdeh dan keputusan kekal 4-0 hingga ke wisel penamat. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan