AM

PINTU SEMPADAN NEGARA SESAK, ORANG RAMAI AMBIL PELUANG CUTI KE THAILAND

14/09/2024 01:42 PM

ALOR SETAR, 14 Sept (Bernama) -- Dua pintu sempadan negara di negeri ini mengalami kesesakan luar biasa berikutan peningkatan jumlah kenderaan dari negara ini yang hendak memasuki Thailand sempena cuti sekolah.

Sejak awal pagi tadi, aliran trafik di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Kota Putra dekat Kuala Nerang menyaksikan kenderaan beratur panjang.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata jumlah kenderaan yang hendak memasuki Thailand menerusi ICQS Bukit Kayu Hitam meningkat mendadak sejak Khamis lepas dan sejumlah 30,754 pengembara telah keluar dan masuk melalui pintu masuk itu setakat ini.

"Pengembara Malaysia menjadikan Hatyai sebagai destinasi popular, terkenal sebagai syurga makanan dengan hidangan yang murah dan lazat. Populariti Hatyai dalam kalangan pelancong Malaysia telah menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi menangani keadaan itu, JIM Kedah telah mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kaunter pemeriksaan ICQS Bukit Kayu Hitam serta satu lagi pintu sempadan iaitu ICQS Kota Putra dekat Kuala Nerang.

Mohd Ridzzuan berkata langkah berkenaan bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen perjalanan pelancong serta memperbaiki aliran trafik di kawasan sempadan. 

“Di samping itu, penguatkuasaan trafik dipertingkat di jalan-jalan utama menuju ke sempadan bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan lancar,” katanya.

JIM Kedah menasihati semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertugas serta menggalakkan orang ramai merancang perjalanan mereka lebih awal, tambah beliau.

“Orang ramai juga dinasihatkan memantau perkembangan trafik melalui saluran rasmi dan memilih waktu yang sesuai bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan trafik yang lebih teruk. 

“Pelancong turut diingatkan untuk memastikan dokumen perjalanan mereka sah dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di sempadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Imigresen ICQS Kota Putra Shafarina Othman berkata jumlah pelancong yang melalui pintu sempadan itu meningkat hampir 40 peratus berbanding hari-hari biasa. 

Pada hari biasa, sekitar 400 hingga 600 pelawat menggunakan ICQS Kota Putra memasuki Thailand, tetapi semalam sahaja, jumlah itu melonjak kepada 1,868 orang, kata beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan