JENAYAH & MAHKAMAH

RAFIZI ARAH PASUKAN GUAMAN SAMAN WAN AHMAD FAYHSAL

14/09/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah mengarahkan pasukan guamannya untuk memulakan proses saman terhadap Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata tindakan tersebut diambil kerana Wan Ahmad Fayhsal membuat fitnah terbuka terhadapnya dengan mendakwa bahawa beliau telah menyeleweng duit Kementerian Ekonomi dan membayar kepada laskar siber.

“Saya tidak pernah saman sesiapa tetapi fitnah YB Machang ni adalah kes yang sangat jelas bila dibawa ke mahkamah,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Menerusi hantaran lain, Rafizi memaklumkan beliau telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya iaitu Mohamed Farhan Akmal Mohd Iqbal membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial mesra PAS yang menggunakan akaun @RichardPower_ atas dakwaan melontarkan tuduhan palsu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu menafikan kenyataan pempengaruh tersebut dan berkata beliau tidak pernah membayar mana-mana individu seperti yang didakwa.

“Richard ini diberitakan seorang yang rapat dengan pimpinan PAS dan berselindung di belakang akaun palsu media sosial. Sudah sampai masanya tindakan undang-undang diambil untuk menghalang fitnah-fitnah begini,” katanya.

Rafizi turut berkongsi pautan kepada kenyataan yang dibuat oleh pempengaruh itu yang mendakwa beliau membayar sebanyak RM60,000 kepada seorang lagi pempengaruh media sosial.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan