AM

PENULARAN AJARAN SESAT: PERLU TINDAKAN TEGAS, ELAK INSIDEN BOM JANGKA

14/09/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kerajaan disaran bertindak tegas terhadap rangkaian sebuah syarikat yang didakwa menghidupkan semula ajaran sesat kerana doktrin itu dilihat sebagai ‘bom jangka’ kepada negara.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana rumah amal milik rangkaian syarikat itu didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja sebagai pekerja.

Beliau berkata selain itu, isu ini melibatkan akidah dan perbuatan memperdagang agama demi kepentingan tertentu.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata banyak bukti menunjukkan pengikut kumpulan tersebut taasub kepada pemimpin mereka yang dipercayai masih meneruskan gerakan Al-Arqam.

"Perlu ada tindakan tegas kerana isu ini juga melibatkan unsur jenayah. Dalam Islam, kita perlu memberi hujah dahulu namun jika golongan ini enggan terima barulah tindakan seperti penjara perlu dikenakan.

"Mereka mesti dibubarkan dan perlu dipisah-pisahkan bagi mengelakkan isu ini menjadi bom jangka buat negara. Malah kumpulan mereka ini bertapak di luar negara termasuk membuka cawangan perniagaan di Turkiye, Jordan dan Australia," katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai GISB yang didakwa terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja sebelum Polis Diraja Malaysia menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia lingkungan setahun hingga 17 tahun dari 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada Rabu lepas.

Pada 13 Sept, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan hasil siasatan mendapati 13 penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu dipercayai menjadi mangsa liwat.

Khairuddin, yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendedahan mengenai eksploitasi kanak-kanak dan remaja ini menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap badan bukan kerajaan Islam.

"Jangan kerana tindak-tanduk segelintir pihak yang tersasar ini, orang ramai mula hilang kepercayaan terhadap Islam. Lebih parah jika masyarakat tidak lagi percaya kepada agamawan," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan kumpulan itu memisahkan kanak-kanak seawal usia dua tahun daripada ibu bapa masing-masing dan menempatkan mereka di taman asuhan kendalian GISB.

Mufti Negeri Sembilan Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam kenyataan di laman rasmi Majlis Keselamatan Negara pula mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiah oleh Kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata ajaran itu telah diputuskan sebagai menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan lebih 20 tahun lepas.

Bagaimanapun, Faudzinaim berkata pihaknya tidak menerima laporan atau hasil siasatan berkaitan eksploitasi kanak-kanak oleh syarikat terbabit.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuh bagi menyiasat dan mengkaji doktrin ajaran kumpulan itu secara terperinci.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan diletak di bawah seliaan menteri sendiri untuk membanteras ajaran sesat hingga ke akar umbi selain memberi sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesediaannya untuk membantu proses pemulihan, penjagaan dan bimbingan kepada kanak-kanak terbabit selaras dengan peranannya.

Menurut kenyataan itu, eksploitasi manusia atas nama agama untuk apa jua tujuan adalah sangat buruk dan perlu ditentang.

YADIM juga menyeru semua organisasi dan pertubuhan berasaskan agama agar sentiasa menjaga kemuliaan Islam serta tidak mencemarkan imejnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan