AM

TINGKAT KEHARMONIAN ANTARA PENGANUT AGAMA AGENDA PENTING KPN - AARON

14/09/2024 09:57 PM

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Meningkatkan keharmonian antara penganut agama adalah satu daripada agenda penting yang telah ditetapkan dalam hala tuju Kementerian Perpaduan Negara (KPN) selaras dengan agenda nasional membangun Malaysia MADANI.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ini antara lain kerana agama telah menjadi satu daripada defisit sosial kerana kurang sensitiviti dan kefahaman berkenaan agama yang berbeza memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat.

Beliau berkata dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022, sebanyak empat daripada 10 kategori defisit sosial iaitu agama, pendidikan, jurang generasi dan bahasa didapati menggugat pencapaian tahap perpaduan rakyat secara tidak langsung.

“Defisit sosial adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak menggugat pencapaian tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Wacana Harmoni MADANI: “Harmoni Dalam Kepelbagaian” di sini hari ini.

Justeru, katanya KPN telah mengambil inisiatif melancarkan inisiatif Harmoni MADANI pada April lepas dengan mengetengahkan konsep Faham, Hormat dan Terima sebagai usaha meningkatkan keharmonian antara penganut agama.

Aaron berkata antara program yang telah dilaksanakan melalui inisiatif Harmoni MADANI ialah sembilan program Jejak Harmoni, empat program Dialog Harmoni, podcast atau audio siar Bicara Harmoni bagi berkongsi nilai-nilai murni masyarakat Malaysia, dan enam siri dokumentari Harmoni.

Wacana Harmoni MADANI: “Harmoni Dalam Kepelbagaian” menampilkan panelis terdiri daripada ahli akademik, pemimpin agama, pengamal perundangan, generasi muda dan belia yang berhadapan secara langsung dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Topik dibincangkan melalui wacana itu antaranya Peranan Agama Dalam Negara Merdeka, Jalinan Kerjasama Menjana Keharmonian Beragama, Peranan Generasi Muda Mendepani Perubahan Global dari Persepektif Agama dan Sesi dialog bersama Ikon Belia: Nilai-nilai Kecemerlangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan