AM

MIDCF 2024 BAKAL MENJADI FESTIVAL BUFET DURIAN TERBESAR

14/09/2024 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Festival Durian dan Kebudayaan Antarabangsa Malaysia (MIDCF) 2024 edisi ke-4 yang diadakan dari 11 hingga 16 Sept ini di Piazza Pavilion Bukit Jalil dijangka menjadi festival bufet durian terbesar. 

Acara yang dianjurkan oleh cabang pemasaran Duricious Sdn Bhd, Dking dengan kerjasama Durian Capital Bhd dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan dan model terkenal Amber Chia sebagai duta jenama bagi MIDCF baru-baru ini. 

Dking dalam kenyataannya memaklumkan penganjuran MIDCF 2024 bukan sahaja untuk meraikan durian Malaysia sebagai 'Raja Buah’ tetapi juga untuk mendidik pengunjung mengenai kepentingan dan proses penanaman durian. 

“Selain menawarkan bufet durian dengan pilihan yang pelbagai, festival itu turut memfokus kepada agropelancongan dengan menonjol amalan pertanian di sebalik buah ikonik itu.

“Pengunjung berpeluang belajar mengenai penanaman dunia sambil menikmati pelbagai sajian tempatan dan merasai pengalaman kehidupan tradisional di kampung dengan menginap di dusun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pengasas DKing dan MIDCF Leron Yee dalam kenyataan sama berkata tujuan penganjuran acara itu adalah untuk mempromosikan durian dan budaya rakyat Malaysia, dengan harapan ia akan menjadi festival tahunan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai “DurianFest” atau “Hari Durian”.

Beliau berkata MIDCF 2024 diharap dapat meluaskan pemahaman dan penghargaan terhadap raja buah itu serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi agropelancongan utama.

“Festival ini bermula 11 Sept lepas dan kami telah menerima kehadiran lebih 700 tetamu dari China yang datang untuk menikmati durian Malaysia. Lebih ramai dijangka hadir sepanjang festival ini yang menyasarkan 3,000 pengunjung tempatan dan 900 pengunjung luar negara dengan tambahan 1,000 orang lagi bagi acara Larian Durian esok,” katanya.

Sementara itu, Manoharan dalam ucapan pada majlis itu berkata Tourism Malaysia akan terus menyokong acara yang bertujuan mempromosikan durian dan budaya Malaysia dengan menonjolkan jenis durian paling terkenal di negara ini, Musang King.

Beliau juga berharap hasil kerjasama semua pihak akan mengangkat festival durian itu ke peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong dan penggemar durian dari seluruh dunia berkunjung ke Malaysia.

“Tahun lalu eksport buah-buahan Malaysia bernilai RM2 bilion dengan durian meliputi 56 peratus. Negara mengeluarkan 455,458 tan durian dan dijangka peningkatan 11 peratus kepada 505,853 tan pada 2025.

“Untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan semangat Malaysia MADANI, bersama-sama kita berusaha meningkatkan nilai tawaran pelancongan kita,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan