AM

KES GISBH: AGONG TITAH PDRM JALANKAN SIASATAN MENYELURUH

17/09/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Seri Paduka Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan bahawa perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media di sini memaklumkan hasil ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan GISBH menerusi Ops Global mendapati terdapat unsur penderaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.

Selain itu, terdapat juga elemen buruh dan eksploitasi kanak-kanak dengan mereka yang berumur bawah 18 tahun dipaksa bekerja menjual barang.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan