DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI PADA TENGAH HARI

17/09/2024 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup tinggi, menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) mengenai kadar faedah esok, dengan jangkaan penurunan kadar faedah yang ketara meningkatkan sentimen.

Pada 12.30 tengah hari,  FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)  naik 11.58 mata atau  0.7 peratus kepada 1,663.73 daripada 1,652.15 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran meningkat 2.16 mata kepada 1,654.31 dan bergerak antara 1,651.55 dan 1,664.99 sepanjang sesi dagangan.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi 483 kepada 435, dengan 404 kaunter tidak berubah, 1,183 tidak diniagakan dan tujuh digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.94 bilion unit bernilai RM1.70 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga meletakkan harga berdasarkan potensi penurunan kadar faedah 50 mata asas oleh Fed. 

“Minggu ini, peniaga (juga) akan memberi tumpuan kepada jualan runcit AS dan momentum belian mungkin berlanjutan di peringkat tempatan," katanya sambil menambah bahawa prestasi Nasdaq yang lebih lemah, ditambah dengan ringgit yang lebih kukuh pada RM4.298  berbanding dolar AS, mungkin memberi kesan negatif kepada sektor teknologi.

“Bagaimanapun, ringgit yang kukuh boleh menyokong sektor domestik seperti pengguna dan utiliti. Selain itu, kami melihat potensi dalam pembinaan, harta tanah dan bahan binaan, kerana pendapatan daripada projek pusat data mungkin mula diraih pada masa depan,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB melonjak 21 sen kepada RM8.37, TNB menambah 10 sen kepada RM14.88 manakala IHH Healthcare melonjak 31 sen kepada RM7.09. Hong Leong Bank menokok lapan sen kepada RM21.28, Maybank tidak berubah pada RM10.64 dan Public Bank susut satu sen kepada RM4.69.

Bagi kaunter aktif, Top Glove melonjak 22.5 sen kepada RM1.14, Careplus menambah lima sen kepada 31 sen dan Supermax melonjak 13 sen kepada 92 sen. Kossan naik 36 sen kepada RM2.19, Sarawak Consolidated menokok setengah sen kepada 25 sen dan MYEG naik 1.5 sen kepada 91.5 sen. Hartalega melonjak 29.75 peratus atau 72 sen kepada RM3.14.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 103.69 mata kepada 12,406.0, Indeks FBM Emas Shariah meraih 142.31 mata kepada 12,258.12 dan Indeks FBMT 100 menokok 108.89 mata kepada 12,125. Indeks FBM 70 melonjak 249.04 mata kepada 17,530.92, manakala Indeks FBM ACE susut 5.78 mata kepada 5,078.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 68.01 mata kepada 19,619.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.11 mata kepada 176.26, Indeks Tenaga turun 0.91 mata kepada 861.80 dan Indeks Perladangan meningkat 2.26 mata kepada 7,182.99.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan