DUNIA

META SEKAT AKAUN RT, ROSSIYA SEGODNYA DI PLATFORMNYA

17/09/2024 12:59 PM

NEW YORK, 17 Sept (Bernama-TASS) -- Meta Corporation menyekat akaun beberapa saluran media Rusia di platformnya, termasuk RT dan kumpulan media Rossiya Segodnya, lapor Agensi Berita Rusia, TASS, memetik NBC.

"Selepas pertimbangan yang teliti, kami memperluas tindakan penguatkuasaan terhadap saluran media milik kerajaan Rusia. Rossiya Segodnya, RT dan entiti lain yang berkaitan kini dilarang daripada menggunakan aplikasi kami secara global atas aktiviti campur tangan asing," kata jurucakap Meta dalam satu kenyataan.

Meta masih belum memberikan maklum balas kepada permintaan TASS untuk mengulas lanjut.

Pada 4 Sept lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa ia mengenakan sekatan ke atas ketua pengarang saluran TV RT, Margarita Simonyan dan dua timbalannya.

Selain itu, Jabatan Negara AS turut mengetatkan peraturan berkenaan kerjasama dengan kumpulan media Rossiya Segodnya, RIA Novosti, RT, TV-Novosti, Ruptly dan Sputnik.

-- BERNAMA-TASS

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan