AM

KSN MAHU JIM, JPN SABAH TINGKAT KECEKAPAN OPERASI SISTEM KAUNTER

17/09/2024 04:33 PM

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah memberi perhatian memperkasa kecekapan operasi sistem kaunter bagi meningkatkan kepuasan pelanggan.

Beliau mengetengahkan perkara tersebut selepas membuat lawatan mengejut di kedua-dua jabatan  tersebut di sini bagi melihat sendiri operasi harian dan memantau kesiapsiagaan di bahagian kaunter dalam menyampaikan perkhidmatan.

Shamsul Azri mendapati sistem kaunter JIM tergendala yang berpanjangan, mengakibatkan pengguna terpaksa menunggu lama dan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan segera berhubung isu berkenaan.

“Saya juga meminta KSU KDN untuk menilai semula struktur organisasi perjawatan dan mencadangkan penstrukturan semula perjawatan di JIM bagi memberi  keutamaan kepada perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya menerusi hantaran di laman sosial miliknya hari ini.

Selain itu, Shamsul Azri juga telah memaklumkan kepada Pengarah JPN Sabah supaya sistem kaunter jabatan tersebut memberi keutamaan kepada ibu mengandung, warga emas, Orang Kurang Upaya serta mereka yang membawa anak kecil berumur di bawah dua tahun bagi mempercepat proses pendaftaran.

Shamsul Azri turut mendapati pengoperasian JPN Sabah masih lagi tidak memanfaatkan sistem digital secara efisien, dan dalam lawatan singkat itu, beliau sempat bertanya kepada pengunjung tentang tempoh waktu menunggu serta kualiti perkhidmatan yang diterima di kedua-dua cawangan tersebut.

“Rata-rata mereka berpuas hati namun, isu seperti tempoh masa menunggu, sistem kerap tergendala dan tempat letak kereta yang terhad agak mengecewakan,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada semua petugas untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, selain memberi peringatan kepada semua petugas di pintu masuk itu agar tidak sekali-kali terjebak dalam kancah rasuah dan jenayah penyeludupan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan isu integriti dan jenayah seperti ini,” tegasnya.

Reformasi perkhidmatan awam sedang dilaksanakan, justeru ketegasan dalam aspek produktiviti dan perkhidmatan kepada rakyat adalah penting dalam usaha memartabatkan kebajikan penjawat awam, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan