AM

AHMAD ZAHID GESA PEMAIN INDUSTRI TVET SOKONG EKOSISTEM INDUSTRI HALAL

17/09/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pemain industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyumbang serta mewujudkan ekosistem yang menyokong graduan bidang itu selain pakar dalam industri halal.

Beliau berkata kewujudan lebih ramai bakat dan pakar dalam sektor halal akan mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri yang kini bernilai lebih US$3 trilion di pasaran global.

“Saya menggalakkan pemain industri terutamanya dalam makanan dan ramuan untuk menyumbang serta mewujudkan ekosistem yang menyokong graduan TVET dalam industri halal.

“Ini termasuk membangunkan juruaudit halal mahir dengan kepakaran teknikal yang diperlukan untuk memastikan ketulenan dan integriti amalan halal,” katanya semasa ucapan perasmian pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata adalah penting untuk memasukkan bakat TVET dalam industri halal selaras dengan usaha kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal dunia dan persediaan untuk menjadi hab halal global.

Majlis pelancaran Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2024 turut dihadiri Pengerusi Halal Development Cooperation Bhd Khairul Azwan Harun.

Lebih 500 peserta mengambil bahagian pada persidangan sehari itu termasuk daripada agensi kerajaan, pemimpin perniagaan, pakar akademik dan pemain global industri halal.

Mengulas lanjut mengenai gesaan beliau kepada pemain industri supaya mewujudkan ekosistem yang menyokong graduan dalam industri halal, Ahmad Zahid berkata sokongan seperti itu akan mengukuhkan lagi kepakaran serta bakat daripada institusi pengajian tinggi dan TVET yang menawarkan bidang pengajian berkaitan sektor halal.

Beliau berkata kewujudkan rantaian ekosistem institusi pengajian dan pemain industri halal juga dilihat dapat membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memerlukan pegawai dan petugas bagi melancarkan proses pensijilan halal.

“Pada masa ini, banyak institusi pengajian tinggi dan TVET mengikuti sukatan pelajaran bidang industri halal yang disediakan JAKIM.

“Sesuatu yang baik apabila mereka yang keluar dari institusi (pengajian) dan tahu selok-belok pengeluaran sijil halal dapat dijadikan sebagai sumber kepakaran dalaman serta luaran JAKIM untuk percepatkan lagi proses pengeluaran pensijilan halal,” katanya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau turut meluangkan masa meninjau reruai dari pelbagai negeri, kementerian dan syarikat bumiputera yang mempamerkan produk halal tempatan dengan potensi besar menembusi pasaran global melalui syarikat antarabangsa terlibat dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-20 di sini.

Beliau berkata reruai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertemakan Gate to Global@KKDW mengetengahkan produk 20 usahawan daripada program kementerian itu, Majlis Amanah Rakyat​​​ (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang berpotensi menembusi pasaran global. 

“Pameran ini juga secara tidak langsung telah membuka mata kita terhadap luasnya potensi industri halal di Malaysia bukan hanya dari segi produk tetapi juga teknologi canggih yang digunakan dalam penghasilan makanan halal.

"Ini jelas membuktikan bahawa industri halal sedang berkembang pesat selari dengan inovasi teknologi terkini dan ini satu perkembangan yang sangat membanggakan kerana ia menunjukkan kemampuan usahawan tempatan kita untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Ahmad Zahid juga berharap MIHAS 2024 menjadi platform yang membuka peluang lebih besar kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan