AM

500 KELUARGA BAKAL MENGHUNI PRR BATU ARANG BULAN DEPAN

17/09/2024 08:46 PM

LABUAN, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 500 keluarga berpendapatan rendah dijangka berpindah ke Program Residensi Rakyat (PRR) Batu Arang, Tanjung Aru di sini, mula bulan depan susulan siapnya projek bernilai RM119 juta itu pada Ogos lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athira Sabu berkata pembinaan projek pertama seumpamanya di pulau bebas cukai itu, dimulakan pada Januari 2018 dengan dua blok bangunan 13 tingkat yang mengandungi 500 unit kediaman.

Beliau berkata setiap pangsapuri berkeluasan 65.04 meter persegi dan direka dengan tiga bilik serta ruang tamu yang luas.

“Projek itu bertujuan meningkatkan keselesaan hidup rakyat dengan menawarkan kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, tadika, unit kedai dan taman permainan,” katanya pada Majlis Sentuhan Kasih KPKT-Penyerahan Kunci kepada Penerima Program Residensi Rakyat (PRR) Batu Arang di sini hari ini.

Beliau berkata keterangkuman menjadi elemen utama di PRR Batu Arang ini, yang turut memperuntukkan lima unit khusus untuk keperluan individu orang kurang upaya (OKU), selain memastikan tiada sesiapa tercicir.

“Selaras dengan agenda Malaysia MADANI pembangunannya juga mengutamakan elemen kehidupan moden seperti akses Internet menerusi teknologi komunikasi gentian optik atau fiber-to-the-home (FTTH),” katanya.

Aiman Athirah turut menekankan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti tinggi yang memenuhi permintaan penduduk

"Kerajaan fokus terhadap usaha memastikan projek perumahan awam bukan hanya menyediakan tempat tinggal tetapi juga dilengkapi dengan nilai tambah dan kemudahan moden untuk meningkatkan kualiti kehidupan penghuninya,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan