AM

PENYUMBANG PEMBINAAN MERCU TANDA IKONIK DUNIA, EVERSENDAI JADI KEBANGGAAN NEGARA

17/09/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Mungkin ramai yang tidak mengetahui syarikat pembinaan kebanggaan negara, Eversendai Corporation Bhd (Eversendai) merupakan antara penyumbang pembinaan beberapa mercu tanda ikonik di dunia termasuk Burj Khalifa (Dubai), Al Shams Sky Tower (Abu Dhabi) dan Menara Berkembar KLCC serta Menara Merdeka 118.

Perkara berkenaan dikongsikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran menerusi Facebooknya selepas melawat kilang fabrikasi keluli terbesar milik Eversendai di Hamriyah Free Zone Establishment, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Nanta yang dalam lawatan kerja rasminya ke Dubai berkata Eversendai merupakan satu-satunya syarikat pembinaan Malaysia mencipta rekod dunia dan pencapaian penting dalam industri pembinaan dengan projek mercu tanda ikonik "One Za'abeel" di Dubai pada 2020.

“Dalam lawatan ini, saya telah diberikan taklimat berhubung pengoperasian kilang, pembuatan, fabrikasi besi dan reka cipta struktur bangunan yang dilaksanakan di kilang tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa teknologi BIM (Pemodelan Maklumat Bangunan) diguna pakai dalam pelaksanaan projek terutamanya dalam peringkat penyediaan reka bentuk projek khususnya struktur keluli,” katanya dalam hantaran itu.

Beliau berkata Eversendai mempunyai 15,000 tenaga kerja dan lebih daripada 300 projek telah dicapai di lebih 14 negara dengan lima kilang fabrikasi keluli yang terletak di Malaysia, Dubai, Sharjah, Qatar dan India dengan kapasiti tahunan sebanyak 150,000 tan.

“Kilang fabrikasi keluli tercanggih ini telah membina beberapa struktur mercu tanda yang paling ikonik di dunia seperti Burj Khalifa dan Menara Merdeka 118,” katanya.

Nanta berkata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Eversendai serta pengasas syarikat itu Tan Sri Datuk A K Nathan dalam satu kenyataan menyifatkan Eversendai sebagai kebanggaan negara dan berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang setinggi-tingginya dengan menjadi sebahagian daripada rekod dunia untuk bangunan julur terpanjang di dunia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan