SUKAN

ATLET, JURULATIH DAN PENGURUS SUKMA PAHANG TERIMA INSENTIF RM570,000

18/09/2024 10:14 PM

KUANTAN, 18 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pahang memberikan sebanyak RM570,000 insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat serta pengurus dan jurulatih yang terlibat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, bulan lepas. 

Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM391,000 diberikan kepada 161 atlet sebagai tanda penghargaan kepada kontinjen negeri yang berjaya meraih 23 pingat emas, 21 perak dan 32 gangsa.

“Kerajaan negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat walaupun kita di tangga kesembilan keseluruhan, namun, kita berjaya menambah pungutan pingat berbanding temasya sebelumnya.

“Sepertimana dijanjikan kerajaan negeri Pahang, mereka yang berjaya mendapat pingat, kita ada bagi sumbangan berbentuk kewangan untuk memberikan semangat kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif SUKMA atlet Pahang di Sri Manja Hotel di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri telah menetapkan kadar pemberian insentif kepada atlet Pahang bagi acara individu sebanyak RM6,000 bagi pingat emas serta RM3,000 dan RM1,500 masing-masing bagi perak dan gangsa, manakala bagi acara berpasukan, RM2,000 seorang untuk pingat emas, RM1,500 bagi perak dan RM1,000 untuk penyumbang gangsa.

Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada temasya itu di Selangor pada 2026.

Sementara itu, atlet menembak Cheah Zen Hong, 18, memperoleh jumlah insentif tertinggi sebanyak RM26,000 selepas berjaya merangkul tujuh pingat emas.

“Temasya SUKMA Sarawak merupakan penyertaan kali kedua dalam SUKMA. Sebelum ini hanya dapat tiga pingat emas dan satu perak dalam lima kategori yang saya masuk.

“Insentif ini akan meningkatkan semangat untuk lebih berjuang mencipta kejayaan," katanya sambil menambah insentif itu akan digunakan untuk melanjutkan pelajaran di universiti. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan