JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LIMA INDIVIDU, RAMPAS DUA KENDERAAN ADA LAMBANG GISBH DI BUKIT KAYU HITAM

18/09/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan merampas dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat itu di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand, kira-kira 6 petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kejayaan menahan individu dan merampas dua kenderaan rekreasi yang mempunyai lambang GISBH dengan nombor pendaftaran X31337 dan X37313 di bandar sempadan Malaysia-Thailand itu adalah hasil siasatan Unit Risikan Sempadan Zon Utara.

“Hasil pemerhatian mendapati kenderaan tersebut telah bergerak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand. Tindakan pemeriksaan telah dibuat dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dan telah berjaya menahan kenderaan itu serta sebuah kereta Myvi bersama lima lelaki berusia 28 hingga 41 tahun terbabit.

“Soal siasat awal dan proses dokumentasi masih dijalankan. Tangkapan dan rampasan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Difahamkan, seorang daripada lima individu yang ditahan itu merupakan anak kepada pemimpin utama syarikat terbabit.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Razarudin sebelum ini memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan