AM

KERJASAMA NGO, PEMIMPIN SETEMPAT PENTING UNTUK KURANGKAN KES PENAGIHAN DADAH

22/09/2024 01:27 PM

KLUANG, 22 Sept (Bernama) -- Kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan masyarakat penting bagi mengurangkan kadar kes penagihan dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sokongan tersebut diperlukan bagi merealisasikan sasaran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk mengurangkan kes dadah kepada 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2025.

"Kami berharap kerjasama daripada pelbagai pihak dapat dilaksanakan kerana tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada AADK.

"Kami yakin dapat mengurangkan kes dadah kerana terdapat contoh individu yang berjaya pulih apabila mendapat sokongan komuniti yang benar-benar komited," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program AADK Santuni Komuniti di Kompleks Sukan Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon.

Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa program seperti ini akan diperluaskan ke lebih banyak daerah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha mengurangkan kes penagihan dadah di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan