POLITIK

"SAYA BERJAYA LAKUKAN BERSAMA PASUKAN"- SYED HUSSIEN

29/09/2024 12:17 AM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- “Saya berjaya lakukannya bersama seluruh pasukan saya,” itu ungkapan yang mahu diluahkan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah kepada bapanya selepas disahkan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini. 

Disebabkan itu, Syed Hussien berkata perkara pertama yang akan dilakukan beliau esok ialah menziarahi pusara bapanya, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid, 67, yang meninggal dunia empat hari sebelum hari penamaan calon. 

"Saya nak bagitau bah (ayah), saya berjaya lakukan bersama seluruh pasukan saya,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini.

Syed Hussien berkata beliau juga berazam mahu meneruskan politik baharu bersifat kekeluargaan, yang menjadi fokus sepanjang 14 hari berkempen pada PRK itu, dengan dirinya kerap menggelar penduduk DUN Makota sebagai “keluarga besar”. 

Selain itu, beliau berharap tiada pihak mengamalkan lagi politik tidak sihat seperti mengata atau menuduh  sebarangan selepas ini. 

“Bagi mengelakkan perpecahan kita cantumkan (semula) sebagai satu kumpulan yang boleh bekerjasama,” katanya.

Syed Hussien juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta jentera parti BN dan Pakatan Harapan (PH) yang banyak membantunya pada PRK itu. 

PRK itu menyaksikan BN mengekalkan DUN Mahkota menerusi Syed Hussien yang menang bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, selepas memperoleh 27,995 undi jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar mendapat 7,347 undi.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan