POLITIK

PRK MAHKOTA: JENTERA PERPADUAN DAKWA ADA KAIN RENTANG BERSIFAT PROVOKATIF DIPASANG

28/09/2024 02:26 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Jentera Perpaduan mendakwa ada pihak tertentu didapati melakukan tindakan provokatif yang cuba melaga-lagakan ahli UMNO Bahagian Kluang dan meminta pengundi Cina tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini. 

Timbalan Pengarah PRK Barisan Nasional (BN) DUN Mahkota Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia dilakukan menerusi pemasangan kain rentang di beberapa pusat daerah mengundi (PDM) dipercayai awal pagi tadi. 

"Kami sudah menurunkan semua kain rentang itu kerana tidak mahu ia mempengaruhi pengundi. Kita sudah berada di tahun 2024 dan sepatutnya tidak perlu lagi berlaku perkara sebegini," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Perpaduan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyifatkan tindakan memasang kain rentang itu sebagai perbuatan mereka yang terdesak, ketandusan idea dan bankrap isu sehingga sanggup melakukan perbuatan sedemikain pada hari pengundian. 

Selain tulisan dalam Bahasa Melayu, Ahmad mendakwa kain rentang yang meminta pengundi Cina tidak keluar mengundi ditulis dalam Bahasa Mandarin. 

Sementara itu Sheikh Umar yang juga pengundi DUN Mahkota mendakwa menerima panggilan pada 8.33 pagi daripada individu tidak dikenali yang dilihat masih mahu terus berkempen, walaupun tempoh kempen sudah tamat pada 11.59 malam tadi.

"Kita tidak boleh terima pendekatan ini kerana ia melanggar peraturan pilihan raya, dan paling kita kutuk sekerasnya-kerasnya ialah ia (kempen itu) menggunakan naratif sempit perkauman untuk menarik undi,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan