EKONOMI

PULAU PINANG PERKENAL SUBSIDI SEHINGGA RM2 JUTA UNTUK SYARIKAT PEREKA LITAR BERSEPADU - CHOW

28/09/2024 09:27 PM

GEORGE TOWN, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan skim pakej insentif yang menawarkan subsidi sehingga RM2 juta setiap tahun dalam tempoh tiga tahun bagi menarik dan menyokong lebih ramai peserta litar bersepadu (IC) menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata insentif itu akan disediakan kepada syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan firma asing yang terlibat dalam industri mencipta litar bersepadu.

Insentif berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri yang dinamakan Penang Silicon Design @5km+.

“Melalui insentif ini, kami menyasarkan untuk terus menarik dan menyokong industri litar bersepadu yang akan menyumbang kepada inisiatif transformatif ini.

“Selain itu, dengan sokongan lanjut daripada kerajaan persekutuan, yang sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dari segi pembiayaan, negeri ini akan dapat menambah baik pakej insentif yang kami tawarkan,” katanya pada majlis pra pelancaran inisiatif itu di GBS TechSpace, dekat sini hari ini.

Chow berkata pelancaran inisiatif itu adalah demi mewujudkan ekosistem yang saling berkaitan untuk penciptaan litar bersepadu dan perusahaan teknologi, dalam taman perindustrian sedia ada di Bayan Lepas.

Projek berkenaan melibatkan kos berjumlah RM120 juta meliputi pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat dan tenaga kerja, perolehan perisian dan peralatan serta perbelanjaan operasi.

Inisiatif Penang Silicon Design @5km+ itu terdiri daripada tiga projek utama utama, iaitu Penang IC Design & Digital Park @Bayan Lepas, Penang Chip Design Academy @PSDC, dan GBS TechSpace, kemudahan terkini seluas 36,000 kaki persegi yang menempatkan Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.

Sementara itu, Chow mengumumkan pembentukan Majlis Eksekutif bagi projek itu, yang dipengerusikan oleh beliau.

Majlis itu akan dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long, pegawai kewangan negeri Datuk Zabidah Safar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar dan CEO InvestPenang Datuk Loo Lee Lian.

InvestPenang, dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa skim pakej insentif termasuk subsidi sehingga 100 peratus untuk sewa, utiliti dan tempat letak kereta, juga subsidi sehingga 100 peratus untuk penggunaan peralatan dan alatan di ruang inkubasi yang berkongsi dan kemudahan pihak berkepentingan; serta insentif pembangunan bakat menawarkan sehingga 100 peratus subsidi melalui Akademi Reka Cipta Pulau Pinang.

Sebanyak 28 firma tempatan dan asing yang terlibat dalam industri ciptaan litar bersepadu kini beroperasi di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan