AM

JPS DIMINTA TINGKAT KEKERAPAN PEMBERSIHAN SUNGAI DI NEGERI SEMBILAN - EXCO

28/09/2024 10:45 PM

SEREMBAN, 28 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk meningkatkan kekerapan proses pembersihan sungai di Negeri Sembilan supaya sumber air itu sentiasa dalam keadaan baik sekali gus mengelakkan sebarang risiko pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata ia juga bagi memastikan kejadian seperti di Sungai Gedok, Gemencheh yang keadaan airnya berubah warna baru-baru ini tidak berulang.

“Ini kerana perkara itu boleh mencetuskan keadaan panik dalam kalangan masyarakat. Tanggungjawab bersama antara agensi kerajaan dan penduduk setempat perlu untuk mengekalkan kebersihan sungai yang merupakan sumber utama perkhidmatan air negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata susulan laporan orang ramai mengenai Sungai Gedok, beberapa lokasi di kawasan itu disiasat, termasuk di Taman Rekreasi Ampang Batu yang mendapati air keruh, tiada ikan mati dan tiada bau selain pemeriksaan 500 meter dari lokasi pertama menemukan seekor ikan mati, air sungai tiada bau selain warna sedikit hitam.

Veerapan berkata pemeriksaan di lokasi berdekatan yang lain turut mendapati air tidak bergerak kerana ada halangan pokok di tepi sungai atau semak menyebabkan airnya berwarna hitam.

Beliau berkata proses pengambilan sampel telah dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, Melaka untuk tindakan lanjut.

Semalam, media melaporkan penduduk terutama petani di sekitar kawasan itu melahirkan kebimbangan berikutan air Sungai Gemenceh berubah kehitaman hingga berisiko menjejaskan tanaman mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan