JENAYAH & MAHKAMAH

PRK DUN MAHKOTA BERJALAN LANCAR - KETUA POLIS JOHOR

28/09/2024 10:52 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Ketua Polis Johor Datuk CP M Kumar berkata proses Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata pihaknya secara keseluruhan telah menerima lapan laporan polis sepanjang pilihan raya itu dan enam kertas siasatan dibuka.

Kumar berkata daripada jumlah laporan polis itu, dua diterima hari ini membabitkan kes pemalsuan identiti seorang pengundi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kes kedua pula membabitkan seorang pengadu mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang berkempen untuk sesuatu parti meskipun tempoh kempen telah tamat pada 11.59 malam semalam.

“Kita sedang mengesan individu yang membuat panggilan itu untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini.

Semalam, Kumar berkata empat kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 504 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga berkata sejumlah 878 pegawai dan anggota polis diatur gerak bagi pasca pilihan raya hingga 30 Sept ini untuk memastikan ketenteraman serta keselamatan awam.

Pasukan itu, katanya akan terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya dan pemantauan secara keseluruhan di kawasan berkenaan.

Kumar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam memastikan kelancaran proses PRK itu sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan