POLITIK

PRK MAHKOTA: PEMIMPIN PARTI KOMPONEN KERAJAAN PERPADUAN UCAP TAHNIAH KEPADA SYED HUSSIEN

28/09/2024 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Beberapa pemimpin tertinggi parti gabungan Kerajaan Perpaduan mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersyukur atas kemenangan calon BN di DUN tersebut yang memberikan semula mandat kepada partinya.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kemenangan BN di DUN Mahkota. Moga kita terus tawaduk, mara dalam saf mantap, bertindak dalam wahdah, kembali berkibar panji BN demi rakyat dan negara,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan apabila Syed Hussien menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti besar 20,648 undi.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan Syed Hussien ke dalam keluarga Kerajaan Perpaduan.

“PRK Mahkota ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan keharmonian masyarakat, kestabilan politik dan kemakmuran negara secara umumnya. Inilah juga yang kita tawarkan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PMX (Perdana Menteri ke-10) kita.

“Sempena melangkaui 22 bulan usia Kerajaan Perpaduan, saya menyeru semua pihak agar menghentikan segala sengketa supaya kita boleh memberikan sepenuh fokus kepada usaha untuk merancakkan ekonomi, membangunkan negara dan membina ummah yang MADANI,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di DUN Mahkota yang kekal memberi kepercayaan kepada BN untuk berkhidmat di DUN itu.

"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jentera BN dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu memastikan kemenangan saudara Syed Hussien Syed Abdullah," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini turut mengucapkan tahniah dan menyuarakan keyakinan terhadap Syed Hussien dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat DUN Mahkota dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

“Kejayaan ini juga menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah BN yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan tahniah kepada calon BN yang telah menang dengan majoriti besar itu.

Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di DUN Mahkota yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Menang dengan majoriti besar 20,648. Untuk makluman pada Pilihan Raya Negeri 2022, penyandang Mahkota ketika itu menang dengan majoriti 5,166 undi. Hari ini Syed Hussien menang bergaya juga menjadi bukti strategi perpaduan Kerajaan MADANI berjaya,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi serta jentera BN di semua peringkat yang melaksanakan tanggungjawab pada PRK ini.

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan