JENAYAH & MAHKAMAH

FITNAH SENATOR PAKSA PENGAWAL PERIBADI MAKAN KHINZIR: POLIS AMBIL KETERANGAN EMPAT INDIVIDU

30/09/2024 03:40 PM

GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes fitnah melibatkan seorang Ahli Dewan Negara (senator) di Pulau Pinang kononnya memaksa pengawal peribadinya yang beragama Islam memakan daging khinzir.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya telah merekodkan keterangan empat individu termasuk senator berusia 38 tahun itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

"Seterusnya kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan dan arahan selanjutnya berhubung kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Timur Laut  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Jumaat lepas, polis membuka kertas siasatan susulan laporan polis daripada senator berkenaan pada malam Khamis yang mendakwa dirinya difitnah kononnya memaksa pengawal peribadinya memakan daging khinzir dan pegawal peribadinya turut membuat laporan polis untuk menafikan tuduhan itu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis sedang mengumpul maklumat berhubung beberapa individu dipercayai ahli geng kepada dua lelaki warga Vietnam yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang dan pejabat di Pulau Pinang serta Kedah yang maut ditembak polis di Jalan Bukit Panchor dekat sini awal pagi Jumaat lepas.

"Kita dapat info berkenaan mereka dan beberapa individu itu yang juga warga Vietnam dipercayai masih berada di negara ini, usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya.

Jumaat lepas, kedua-dua lelaki warga Vietnam  itu disahkan mati akibat tembakan di tempat kejadian dan pemeriksaan polis telah menjumpai dua parang serta pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah, kilang dan pejabat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan