AM

DASAR PERUBAHAN IKLIM NEGARA 2.0 DILANCAR, SOKONG PERALIHAN EKONOMI RENDAH KARBON

30/09/2024 05:00 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0), satu kerangka kerja dikemas kini bagi membimbing peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dasar itu juga diperkenalkan untuk membimbing dan melengkapkan usaha berterusan Malaysia memenuhi ikrar iklim global, termasuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris 2015.

Beliau berkata DPIN 2.0 merupakan dasar utama yang menghubungkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dari segi tadbir urus, pembangunan rendah karbon, penyesuaian, pembiayaan iklim, dan perkongsian serta menjadi tulang belakang kepada penggubalan Akta Perubahan Iklim Malaysia yang dijangka siap awal tahun depan.

“Seiring dengan peningkatan kekerapan dan intensiti impak perubahan iklim, kita mesti mengambil pendekatan yang komprehensif untuk membina ketahanan dan kapasiti di semua peringkat, bersedia menghadapi cabaran tidak terduga yang mungkin mengancam pembangunan masa depan kita.

“Walaupun negara kita hanya menyumbang 0.8 peratus kepada pelepasan GHG global, kita menyedari bahawa kita adalah sebahagian daripada keluarga global dan semua pihak mesti menyumbang kepada keselamatannya,” katanya ketika berucap pada Forum Perubahan Iklim 2024: Laluan ke COP29 Baku dan pelancaran DPIN 2.0 di sini hari ini.

Sementara itu Nik Nazmi berkata Malaysia akan memberi keutamaan kepada beberapa inisiatif iklim global utama yang sejajar dengan matlamat iklim negara dalam penyertaannya di Persidangan ke-29 Pihak-Pihak (COP29) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang akan diadakan di Baku, Azerbaijan pada 11-22 Nov.

Beliau berkata ini termasuk Matlamat Kuantiti Kolektif Baharu, pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris mengenai mekanisme pasaran karbon, Matlamat Global mengenai Penyesuaian dan pengoperasian Dana Kerugian dan Kerosakan.

“Kami akan terus menyokong pendekatan seimbang terhadap pembiayaan, penyesuaian, dan mekanisme kerugian serta kerosakan, dengan kerjasama serantau melalui ASEAN sebagai teraju utama.

“Ini bukan sasaran yang kecil dan oleh itu, pertemuan seperti ini yang membolehkan kita bertukar-tukar pandangan dan menambah pengetahuan kita, menjadi sangat penting,” katanya.

Nik Nazmi juga membayangkan bahawa memacu kerjasama rentas sempadan menjadi keutamaan Malaysia kerana negara ini akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan.

“Ini adalah kebimbangan besar bagi semua negara dan penduduk ASEAN. Kemenangan ASEAN akan menjadi kemenangan Malaysia dan sebaliknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan