AM

PM ANWAR MAHU PEMANTAUAN MASALAH KEGANASAN DIPERTINGKAT SEGERA DI PELBAGAI PERINGKAT

30/09/2024 05:34 PM

PUTRAJAYA, Sept 30 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan keperluan untuk meningkatkan pemantauan segera terhadap masalah serta pelaku keganasan di negara ini di pelbagai peringkat.

Beliau berkata pemantauan awal boleh dilaksanakan di peringkat sekolah, politik atau dalam kelompok tertentu bagi mengelakkan berlakunya insiden keganasan.

“Saya bangkitkan tentang masalah ‘purveyor of violence and terror’ (pihak yang menyebar, menggalakkan atau menyokong keganasan dan ketakutan) yang kita harus pantau daripada sekarang.

“Apakah dia melalui sekolah, politik, jabatan atau melalui kelompok-kelompok tertentu. Itu harus dipantau kerana kalau tidak dipantau awal (ia) akan dikejutkan dengan tindakan keganasan seperti yang mana kita saksikan di banyak tempat di dunia,” katanya ketika melancarkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Pelampau Kebangsaan (MyPCVE) di sini, hari ini.

MyPCVE dibangunkan untuk menyelaras tindakan menangani ancaman fahaman pelampau keganasan berdasarkan kepada empat teras, iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Anwar berkata fokus utama kerajaan adalah memastikan keamanan negara berada pada tahap tertinggi, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Khasnya memiliki pengalaman dalam menangani perkara ini.

Beliau seterusnya memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan elemen perosak dan pelampau yang berpotensi memusnahkan keamanan dan keselamatan negara.

"Ada masalah yang kita tidak boleh remehkan, antaranya soal disebut soal terorism kerana di Malaysia ini lebih rumit, daripada soal keganasan yang disebut pelampau agama, pelampau kaum, pelampau jenayah. Kalau kita izinkan masalah ini berkembang dan tidak dihindari, permasalahan akan lebih rumit,” katanya.

Anwar berkata walaupun kerajaan menghormati dan mempertahankan demokrasi serta kebebasan, harus diingatkan bahawa setiap pihak perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Ada peraturan, syarat atau undang-undang yang harus dilaksana dengan tegas supaya seluruh negara tidak dimusnahkan. Kita memang tahu lebih mudah memusnahkan daripada membangun,” katanya.

Dalam usaha membangunkan negara dalam pelbagai aspek, beliau berkata barisan Jemaah Menteri yang dipimpinnya memberi perhatian khusus terhadap isu pertahanan dan keselamatan negara.

“Walau kita dalam perbincangan sibuk urus hal lain, tetapi tiap kali bicara soal pertahanan atau keselamatan, Jemaah Menteri beri fokus tertentu (soal itu),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan