AM

LIMA RENTUNG DALAM KEBAKARAN RUMAH DI LIKAS

30/09/2024 05:47 PM

KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) -- Lima individu membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia tiga hingga 14 tahun rentung dalam kebakaran tiga rumah di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 12.54 tengah hari.

Kejadian itu melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus serta sebuah kedai runcit, stor dan dua kenderaan.

"Terdapat lima mangsa dilaporkan rentung. Operasi terkawal pada 1.29 tengah hari, namun pasukan bomba masih lagi memadam bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan mangsa terlibat," menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman melibatkan 33 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu dan Putatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan