DUNIA

PENUNJUK PERASAAN BERTEMPUR DENGAN POLIS DI DHAKA TUNTUT KENAIKAN HAD UMUR JAWATAN KERAJAAN

01/10/2024 02:15 AM

DHAKA, 30 Sept (Bernama-UNB) -- Satu tunjuk perasaan di kawasan Taman Ramna, di sini yang menuntut kerajaan menaikkan had umur kemasukan ke perkhidmatan awam kepada 35 tahun, mencetuskan pertempuran dengan pihak polis pada petang Isnin.

United News of Bangladesh (UNB) melaporkan bahawa para penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda yang mencari pekerjaan cuba berarak menuju ke kediaman Ketua Penasihat Kerajaan Interim Dr Muhammad Yunus, sehingga membawa kepada pertempuran dengan pihak berkuasa.

Konfrontasi itu memuncak sekitar pukul 1.45 petang apabila ratusan penunjuk perasaan yang telah berkumpul lebih awal di Shahbagh berhampiran Muzium Negara, merempuh sekatan polis berhampiran Jamuna, kediaman Ketua Penasihat.

Apabila penunjuk perasaan cuba menghampiri ke kediaman Yunus, polis bertindak dengan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai, lapor UNB. Saksi melaporkan suasana kacau-bilau apabila penunjuk perasaan melarikan diri ke pelbagai arah.

Selain gas pemedih mata, beberapa penunjuk perasaan mendakwa polis turut menggunakan belantan terhadap mereka.

Bagaimanapun, pihak polis  menegaskan bahawa penunjuk perasaan mengabaikan permintaan berulang kali untuk meninggalkan kawasan itu memaksa mereka mengambil tindakan.

Usaha untuk menghubungi Pegawai Bertugas Balai Polis Ramna bagi mendapatkan komen tidak berjaya, lapor UNB.

-- BERNAMA-UNB

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan