EKONOMI

CELCOMDIGI METERAI MOU DENGAN SK TELECOM KOREA SELATAN, JALIN KERJASAMA DALAM INISIATIF AI

30/09/2024 06:30 PM

Daripada Hasnah Jusid

SEOUL, 30 Sept (Bernama) -- CelcomDigi Bhd dan pengendali telekomunikasi tanpa wayar terkemuka Korea Selatan, SK Telecom Co Ltd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam inisiatif kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Global AI SK Telecom, SK Chung dan Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T Kugan menandatangani MoU itu di menara SK Telecom di sini, pada Isnin.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi Datuk Idham Nawawi dan Naib Presiden Perkongsian Strategik AI SK Telecom, Will Cho.

Idham berkata MoU itu menumpukan tiga bidang utama iaitu Fungsian AI di Malaysia, Mengkomersialkan Perkhidmatan AI dan Meneroka Peluang Perniagaan AI Baharu.

Beliau berkata dalam meneroka peluang perniagaan AI baharu, kedua-dua syarikat akan berkongsi maklumat dan bekerjasama dalam mengenal pasti peluang perniagaan baharu untuk meningkatkan perkhidmatan AI dalam pasaran yang dipersetujui.

“Dari segi Fungsian AI di Malaysia, CelcomDigi dan SKT akan bekerjasama untuk memperkenalkan dan melaksanakan penyelesaian AI yang dipersetujui bersama bagi bahagian dalam CelcomDigi, dengan SKT menyediakan sumber dan kepakaran yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Mengkomersialkan Perkhidmatan AI, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk melancarkan perkhidmatan AI secara komersial dalam pasaran yang dipersetujui, menumpukan kepada pemasaran dalam talian dan luar talian untuk memaksimumkan manfaat kewangan.

Idham juga berharap CelcomDigi boleh menjadi antara syarikat AI terbesar di Malaysia dalam beberapa tahun akan datang.

“Kami mempunyai keupayaan, kami menghubungkan lebih 20 juta pengguna menerusi rangkaian kami, kami mempunyai infrastruktur yang kukuh dan sedang membangunkan kemudahan. Ini adalah asas yang baik untuk kami bergerak ke ruang AI,” katanya.

Pada Julai, CelcomDigi melancarkan Pusat Pengalaman AI CelcomDigi (AiX) yang tercanggih -- yang berperanan sebagai pusat tumpuan untuk kerjasama merentas industri, memanfaatkan teknologi pesat membangun seperti 5G, AI, realiti lanjutan, robotik, analitik dan metaverse.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan