AM

BANYAK BAKAT, TENAGA KERJA TEMPATAN DALAM INDUSTRI TEKNOLOGI TINGGI PERLU DILAHIRKAN - SIM

30/09/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Lebih ramai bakat dan tenaga kerja tempatan yang mampu menggalas peranan dalam industri bersesuaian, perlu dilahirkan selaras matlamat ke arah status negara berteknologi tinggi.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata komitmen pelaburan beberapa syarikat teknologi gergasi dunia menjadi manifestasi bahawa Malaysia kini dalam laluan tepat menuju matlamat itu, yang sudah tentu akan membuka ruang kepada pelbagai jenis pekerjaan berlandaskan teknologi tinggi.

Beliau berkata ia termasuk komitmen pelaburan daripada Microsoft, Google, ByteDance dan Amazon Web Services.

“Maksudnya negara kita sedang bergerak ke arah kita akan ada syarikat dan pelabur industri berteknologi tinggi justeru, kita memerlukan bakat tenaga kerja yang mampu menggalas peranan dalam industri ini,” katanya dalam ucapan pada majlis Penghargaan Wira Negara WorldSkills Competition(WSC) Lyon 2024 di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Sim dilapor berkata Malaysia mampu mewujudkan sektor latihan kemahiran negara bertaraf Ivy League mengambil kira sejarah lebih separuh abad Malaysia dalam industri berteknologi tinggi dan mempunyai rangkaian ekosistem yang sesuai dan mampu memacu sektor latihan kemahiran lebih hebat. 

Sim berkata platform seperti WSC menjadi medan membuktikan bakat dan kemahiran belia negara untuk menggalas peranan pasaran kerja dalam abad ke-21. 

“Ini era kecerdasan buatan (AI), era teknologi tinggi dan saya yakin dengan kejayaan generasi mua kita (dalam WSC 2024), Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran AI pada abad ke-21,” katanya.

Mengenai WSC 2024 yang berlangsung selama enam hari bermula 10 Sept lepas di Eurexpo Lyon, Perancis, Sim berkata ini adalah kali pertama kontinjen wira dan wirawati negara dalam bidang kemahiran diraikan, selain turut menganggap kumpulan itu sebagai pasukan Olimpik Kemahiran Malaysia.

Sementara itu Wong Hsun Wei, 21, yang memenangi pingat gangsa bagi kategori Terapi Kecantikan di pertandingan itu serta dinobatkan sebagai Best Of Nation, berkata beliau teruja apabila dipilih menjadi wakil negara di pentas WSC 2024. 

“Pertandingan ini amat penting kepada belia yang menyertai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk kita tunjukkan bakat di pentas dunia,” kata bekas pelajar Sense Perfect International College Pulau Pinang yang kini merupakan pembantu tutor di kolejnya. 

Penerima pingat Medallion For Excellence (MfE) Ahmad Muizuddin Mohd Razi pula berkata beliau perlu menempuh pertandingan menyusun bata, melibatkan 20 individu lain selama lima hari dengan tempoh masa pertandingan keseluruhan 22 jam.

Pelajar Diploma Kejuteraan Bangunan Kolej Kemahiran Tinggi, Pasir Mas, Kelantan itu berkata ketika ini beliau sedang menunggu proses dokumentasi untuk bekerja di United Kingdom dan berhasrat mengkaji sistem susunan bata (bricklaying) di luar negara supaya dapat diaplikasikan di Malaysia.

“Pesanan saya kepada para belia yang berminat nak sertai TVET, pasang cita-cita tinggi, kalau gagal sekali cuba lagi jangan pernah mengalah,” katanya.  

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan