KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memperkenalkan garis panduan yang menumpukan kepada kecekapan penggunaan kuasa dan air serta pembangunan pusat tersebut.
Beliau berkata garis panduan itu adalah untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar di samping memaksimumkan kecekapan operasinya.
"Kami menyedari bahawa pusat data menggunakan sejumlah besar tenaga. Oleh itu, Strategi Pelaburan Hijau (GIS) kami memberi tumpuan untuk memastikan semua pembangunan infrastruktur digital baharu, termasuk pusat data, menyokong komitmen kami untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam ucaptama di “Mantap Malaysia Bersama AI” di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata pengenalan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) membolehkan pihak ketiga, iaitu syarikat korporat mengakses elektrik hijau melalui sistem grid terbuka.
Skim ini membolehkan syarikat mendapatkan tenaga bersih secara langsung daripada pengeluar tenaga.
"Ini akan terus menggalakkan penggunaan tenaga hijau untuk menyokong penyahkarbonan infrastruktur digital Malaysia," katanya.
Menurut Tengku Zafrul, sejak 2021, Malaysia telah meluluskan RM123.5 bilion pelaburan untuk pusat data melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
"Pelaburan yang diluluskan itu menjadikan negara ini pilihan sebagai hab pusat data serantau, dan secara kolektif, pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 64,000 pekerjaan bernilai tinggi," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis pecah tanah pusat data dan rantau awan Google bernilai US$2 bilion (US$1 = RM4.12) di Malaysia.
Pusat data yang kini dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, akan menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital lain yang digunakan setiap hari oleh individu serta organisasi di Malaysia.
Pelaburan Google dijangka dapat menjana impak ekonomi bernilai lebih US$3.2 bilion selain mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030.
-- BERNAMA