AM

LAWATAN TIGA HARI PM KE ISLAMABAD BUKA LEMBARAN BAHARU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-PAKISTAN

01/10/2024 10:25 PM

Daripada Mohd Haikal Mohd Isa

ISLAMABAD, 1 Okt (Bernama) -- Lawatan tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan bermula esok dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Malaysia mencapai mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan berkata kerajaan Pakistan menaruh harapan yang tinggi terhadap kunjungan Anwar ke Islamabad terutama dalam memacu hubungan diplomatik kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi merangkumi pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Lawatan Perdana Menteri bermula esok akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik Malaysia dan Pakistan yang telah terjalin sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya. Kerajaan Pakistan juga telah menaik taraf lawatan Perdana Menteri ini daripada lawatan rasmi kepada lawatan negara.

“Hubungan antara Malaysia dan Pakistan ditakrifkan sebagai hubungan persaudaraan akrab antara dua negara Islam berlandaskan kepada prinsip saling menghormati antara satu sama lain serta hubungan antara rakyat yang rapat,” katanya.

Mohammad Azhar berkata demikian kepada media Malaysia pada sidang akhbar yang diadakan di bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini.

Mohammad Azhar berkata Malaysia dan Pakistan memeterai perjanjian sebagai Rakan Perkongsian Strategik sejak 2019 dengan Pakistan merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan sejak 2016.

“Nilai dagangan antara kedua-dua negara pada 2023 berjumlah RM6.43 bilion dengan eksport Malaysia sebanyak RM4.39 bilion manakala import Malaysia dari Pakistan sebanyak RM2.04 bilion, menjadikan lebihan dagangan RM2.34 bilion bagi pihak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, nilai dagangan yang dicatatkan kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.10 bilion.

Kuala Lumpur dan Islamabad juga telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat (MPCEPA) pada 2008 yang meliputi perdagangan barangan, pelaburan serta kerjasama teknikal.

Mohammad Azhar berkata Perdana Menteri juga memiliki jadual padat sepanjang lawatannya ke Pakistan sebaik sahaja pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi malam esok.

Pada hari kedua lawatan beliau, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif, diikuti mesyuarat dua hala membabitkan delegasi kedua-dua negara di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu.

“Mesyuarat dua hala yang akan diadakan selepas pertemuan terhad di antara Perdana Menteri dan rakan sejawatannya daripada Pakistan itu dijangka meneliti pelbagai isu kerjasama, termasuk hubungan perdagangan, pelaburan, pendidikan, serta kesalinghubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) serta MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA). 

Mohammad Azhar berkata Anwar dan Shehbaz juga akan melancarkan terjemahan terpilih karyawan terkenal Pakistan iaitu Allama Muhammad Iqbal ke dalam Bahasa Melayu dan buku Malaysia MADANI ke dalam Bahasa Urdu.

Kedua-dua pemimpin Malaysia dan Pakistan dijadual mengadakan sidang media selepas itu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan itu juga berkata Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) di Islamabad sebelum dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Falsafah daripada universiti berkenaan.

Pada sebelah malam, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan Asif Ali Zardari di Aiwan-e-Sadr iaitu kediaman rasmi pemimpin itu di mana beliau akan dianugerahkan penghormatan tertinggi negara berkenaan iaitu Nishan-e-Pakistan.

“Itu adalah suatu pengiktirafan tertinggi Kerajaan Pakistan terhadap ketokohan dan kepimpinan Perdana Menteri dalam memupuk serta meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan,” kata Mohammad Azhar.

Beliau berkata Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu dengan Ketua Staf Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir dan tokoh-tokoh berpengaruh lain di negara itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan