AM

TINJAUAN IMBAK CANYON CETUS MINAT PELAJAR UMS, HARAP USAHA PEMULIHARAAN DI MASA HADAPAN

02/10/2024 02:08 PM

Oleh Emin Madi

TELUPID, 2 Okt (Bernama) -- Menjelajah hutan hujan tropika di Sabah yang masih terpelihara mencetuskan harapan kepada Suzane Endion, 26, bahawa warisan semula jadi negeri ini dapat dilindungi untuk generasi akan datang.

Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai tinjauan Resource and Wildlife Yayasan Sabah di Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon (ICCA) di sini selama 14 hari yang berakhir 14 Sept itu turut berpeluang memperkaya lagi pemahaman mengenai kepentingan pemuliharaan di Sabah.

Suzane yang sedang menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan Taman Alam Semulajadi dan Rekreasi di Fakulti Perhutanan Tropika UMS berkata tinjauan itu turut memberikan kesedaran akan peranan penting kawasan seperti ICCA, Lembah Danum dan Lembangan Maliau dalam melindungi biodiversiti.

“Daripada apa yang saya saksikan di ICCA, saya yakin Yayasan Sabah telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam menguruskan kawasan pemuliharaan ini,” katanya kepada Bernama.

Terletak 286 kilometer dari Kota Kinabalu, ICCA ialah hutan simpan seluas 30,000 hektar di tengah-tengah Borneo. Kaya dengan khazanah biodiversiti, kawasan ini turut menjadi tumpuan para penyelidik. Setiap inci hutan berusia 100 juta tahun itu menawarkan penemuan yang tidak terbatas.

Suzane berkata usaha ini penting untuk memastikan kekayaan warisan semula jadi Sabah terus dapat dipelihara demi manfaat generasi akan datang sambil menggambarkan keunikan biodiversiti ICCA "mengagumkan" dan betapa pentingnya langkah pemuliharaan yang berterusan.

Tinjauan itu dapat mengumpulkan data penting bagi pengurusan masa depan ICCA dan hasil tinjauan ini bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman mengenai biodiversiti malah turut menonjolkan potensi ekopelancongan. 

Bercerita mengenai perasaannya sebelum meneroka hutan itu, Suzane mengakui pada awalnya berasa cemas.

“Pada hari pertama, saya agak gementar mendengar bunyi-bunyian agak pelik di dalam hutan walaupun saya bersama dengan kumpulan yang terdiri lebih 25 orang,” katanya yang kemudian mula dapat membiasakan diri dengan keadaan. 

Tinjauan ini memberikan beliau pengalaman meredah hutan yang tebal  dan teruja berpeluang melihat hidupan liar seperti monyet, burung dan pelbagai spesies serangga berwarna-warni di habitat semula jadi mereka.

“Saya sangat bangga dapat turut serta dalam tinjauan ini kerana ia memberikan saya pengalaman yang amat berharga untuk mempelajari mengenai pemuliharaan hutan dan perlindungan hidupan liar di Sabah,” katanya.

Suzane yakin ICCA, Lembah Danum dan Lembangan Maliau menawarkan peluang berharga kepada penyelidik tempatan dan antarabangsa serta berharap lebih ramai lagi penyelidik mengambil kesempatan yang ada untuk meneroka kawasan yang belum terjejas ini. 

Tinjauan itu melibatkan 121 peserta termasuk 12 wanita daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi seperti Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan WWF-Malaysia. 

Objektif utama tinjauan ini untuk mengumpul data bagi Rancangan Pengurusan Strategik ICCA, mendokumentasikan kepelbagaian hidupan liar selain menilai ancaman seperti pemburuan haram dan kebakaran hutan.

Menurut Yayasan Sabah, tinjauan ini dilaksanakan oleh Bahagian Pemuliharaan dan Pengurusan Alam Sekitar (CEMD), yang kedua seumpamanya selepas kajian awal yang dijalankan pada 2012.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan