EKONOMI

YAPEIM PERKASA USAHAWAN MISKIN MELALUI INISIATIF PEMBIAYAAN MIKRO

02/10/2024 10:23 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) komited membantu pembangunan usahawan daripada golongan yang memerlukan melalui inisiatif pemberian pendanaan modal perniagaan.

Ketua pegawai eksekutif merangkap ketua pengarahnya Ameer Ali Vali Mohamed berkata yayasan itu melaksanakan inisiatif tersebut melalui Program Pembangunan Usahawan dan Skim Mikro Kredit Ar-Rahnu YAPEIM.

Beliau berkata pembangunan usahawan merupakan langkah yang paling berkesan untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan.

"Ada dua cara kita boleh keluarkan seseorang daripada kemiskinan. Kita boleh berikan dia duit secara 'one off' (sekali). Tetapi apabila penerima itu tidak dapat bantuan dia akan kembali kepada kemiskinan dan ini ibarat hanya memberi ikan kepadanya.

"Jadi yang lebih baik itu adalah kita memberi bantuan agar dia boleh usaha sendiri yang ibarat memberi jala agar dia (penerima bantuan) dapat mencari ikan secara sendiri tiap-tiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Sektor Infaq dan Inovasi Pengurusan Dana: Mempertingkat Impak Dalam Pelaburan Sosial" sempena Forum Serantau YAPEIM (FSY) 2024, di sini, hari ini. 

Ameer Ali berkata sejak dilaksanakan pada tahun 2000 oleh Koperasi YAPEIM Bhd, Skim Mikro Kredit Ar-Rahnu YAPEIM telah berjaya menyediakan pendanaan mikro kepada lebih 25 peratus daripada pengguna perkhidmatan itu untuk digunakan sebagai modal perniagaan.

Setakat Jun 2024, YAPEIM mempunyai seramai 968,053 orang pelanggan menerusi program Ar-Rahnu YAPEIM.

"Ini terutamanya bagi peniaga kecil dan mikro yang 'non-bankable' (tidak boleh membuat pinjaman hartanah daripada bank) yang mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan, namun memerlukan modal tambahan. Jadi kami memberi peluang kepada mereka untuk mengadai emas bagi tujuan mendapatkan modal. 

"Ini adalah antara usaha kami untuk menyantuni dan membantu usahawan yang non-bankable, unserved dan underserved (yang terpinggir)," katanya.

Ameer Ali berkata Ar-Rahnu YAPEIM kini mempunyai 203 cawangan, enam unit bergerak dan lebih 1,000 pekerja di seluruh negara.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Niaga Compliance (Brunei), Lailatul Zubaidah Hussain yang merupakan ahli panel forum berkenaan berkata badan bukan kerajaan (NGO) perlu melihat kepada model perniagaan yang mampan bagi menjalankan program amal. 

Beliau berkata antara langkah yang boleh diambil NGO untuk menjamin kemampanan kewangan dalam menjalankan program amal termasuk bekerjasama dan menjalin hubungan yang baik dengan pemegang kepentingan utama seperti agensi kerajaan serta sektor korporat. 

“Penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan pemegang kepentingan utama kerana mereka mempunyai pengaruh. Dengan pengaruh, banyak yang boleh kita (NGO) lakukan lagi,” katanya. 

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata badan amal turut perlu memastikan tata kelola yang baik dalam menguruskan dana awam agar tidak berlaku ketidakpercayaan terhadap usaha menyantuni golongan yang memerlukan.

“Ketidakpercayaan adalah cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan sesuatu yang besar dengan dana awam kerana kita boleh terkesan jika ada salah guna kuasa dan dana. 

“Kita perlu pastikan kepercayaan kepada sektor pendanaan awam tinggi dan ambil langkah yang perlu berkaitan tata kelola pengurusan dana," katanya. 

YAPEIM ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ditubuh pada 13 Oktober 1976 dan dilancarkan semula pada 1984, ia berperanan ke arah mensejahterakan ummah dalam pembangunan ekonomi Islam, memberi bantuan pendidikan kepada kumpulan sasar, menyedia program komuniti sama ada secara berpanjangan atau sekali sahaja dan menyampaikan sumbangan amal jariah kepada yang memerlukan.

 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan