AM

PELAKSANAAN AKTA 852 GALAKAN PERSEKITARAN SIHAT, SELAMAT UNTUK SEMUA

02/10/2024 06:12 PM

KUCHING, 2 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan menggalakkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk semua.

Rakyat di negeri ini menyifatkan akta yang diwartakan pada 2 Feb lepas itu dan mula berkuat kuasa semalam serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya, penting untuk melindungi kesihatan orang ramai.

Kerani syarikat swasta Nur Shakila Wan Ibrahim, 28, berkata menerusi pelaksanaan akta tersebut ia dapat mengurangkan pendedahan asap rokok terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

“Bagi mereka yang tidak merokok, bau asap rokok ini boleh menyesakkan nafas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pekerja bank Alias Idris Bakri, 45, pula berharap pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keberkesanan akta tersebut.

“Lebih baik sekiranya pihak berkuasa tempatan turut menyediakan zon khas merokok dengan pengawasan yang lebih ketat sekali gus memastikan perokok lebih bertanggungjawab dalam mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata langkah ini akan membawa kepada perubahan positif dalam tingkah laku perokok sekali gus menggalakkan persekitaran yang lebih sihat.

Sementara itu, pekerja premis makanan Linda Mubin, 21, berkata walaupun telah diberikan teguran, masih terdapat segelintir individu yang ingkar dengan notis larangan merokok dan berharap pihak berkuasa membuat pemantauan berterusan termasuk menyaman individu yang ingkar.

Isnin lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Akta 852 yang melibatkan beberapa aspek dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.

Penguatkuasaan itu termasuk peruntukan berkaitan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

Menurut KKM penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan dari tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok dan kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

Selain itu, pembungkusan dan pelabelan akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Okt 2025. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan