AM

FINAS MAHU SYARIKAT PAWAGAM BANTU WUJUDKAN PANGKALAN DATA BERPUSAT

02/10/2024 06:26 PM

Daripada Hasnah Jusid

BUSAN, 2 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) akan meminta syarikat pawagam mempercepatkan perkongsian data terperinci berkaitan jumlah penonton dan angka jualan tiket mengikut lokasi bagi membantu badan perfileman itu menghasilkan pangkalan data berpusat lebih sistematik seperti di Korea Selatan. 

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pembangunan pangkalan data menyerupai sistem maklumat pecah panggung Korea (KOBIS) itu kelak mampu membantu pemain industri perfileman memahami ‘selera’ terkini penonton. 

Beliau berkata ketika ini setiap syarikat pawagam memiliki sistem tersendiri dalam mengumpul maklumat tersebut dan laporan diberikan secara manual kepada FINAS setiap minggu.

“FINAS kena ada satu sistem yang akan menghubungkan dan melibatkan dengan semua pawagam, sekarang ini dengan kecerdasan buatan (AI) laporan dan trend filem dapat dijana. Seterusnya laporan ini boleh dikongsikan dengan penerbit filem untuk membantu mereka merancang penghasilan karya bersesuaian.

“Pangkalan data baharu ini juga akan dijadikan satu sistem yang boleh memantau penjualan tiket tempatan dan antarabangsa sekali gus membantu FINAS dan kerajaan dari segi kutipan cukai hiburan hasil jualan tiket,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam pertemuan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dengan Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Park Kwang-su, Pengerusi Majlis Filem Korea (KOFIC) Han Sang-Jun dan Ketua Pegawai Eksekutif Busan Cinema Centre Kim Jae Hin di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi selepas pertemuan itu meminta FINAS mengkaji penggunaan KOBIS yang digunakan sejak 2004 di negara itu bagi membantu mengenal pasti isu yang dihadapi oleh industri perfileman secara keseluruhan dan merangka penghasilan filem yang lebih baik.

Azmir berkata menerusi perbincangan FINAS dengan syarikat pawagam sebelum ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk berkongsi data berkenaan namun meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai hiburan. 

“Sekiranya cukai hiburan dikurangkan pastinya pawagam Malaysia akan sokong FINAS laksana sistem ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir berkata menerusi pertemuan dengan KOFIC mereka dimaklumkan bahawa negara itu mengenakan cukai tiga peratus daripada jualan tiket filem antarabangsa dan tempatan di Korea Selatan untuk dimasukkan ke dalam tabung pembangunan industri perfileman.

“Saya lihat Malaysia pun perlu pertimbangkan perkara ini dan sebelum saya sertai FINAS pun ini pernah dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan perunding festival filem di Asia dan Eropah Lorna Tee berkata menerusi sistem pangkalan data berpusat syarikat penerbitan akan lebih mudah untuk mengetahui trend semasa yang menjadi minat penonton. 

“Data ini memiliki nilai yang tinggi, kita tahu apa penonton suka dan gunakan data sebegitu untuk menjadi garis panduan bagi penerbit memahami apa yang dimahukan oleh pasaran,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan