EKONOMI

CEBU PACIFIC METERAI PERJANJIAN PEMBELIAN 152 PESAWAT A321 NEO BERNILAI AS$24 BILION

02/10/2024 09:26 PM

Daripada Kisho Kumari Sucederam

MANILA, 2 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah Filipina, Cebu Pacific memeterai perjanjian pembelian dengan Airbus dan Pratt & Whitney bagi pesawat A321neo berjumlah sehingga 152, yang dilengkapi dengan enjin Pratt & Whitney GTF.

Ketua Pegawai Eksekutif Cebu Pacific, Mike Szucs berkata perjanjian dengan Airbus merangkumi sehingga 102 tempahan rasmi bagi A321neo serta 50 hak pembelian bagi kelompok A320neo.

“Pembelian ini, dengan komitmen sekurang-kurangnya 70 pesawat, adalah yang terbesar dalam sejarah penerbangan Filipina, bernilai kira-kira US$24 bilion berdasarkan senarai harga bagi keseluruhan tempahan sebanyak 152 pesawat,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian pembelian dengan Cebu Pacific, Airbus dan Pratt & Whitney di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani bersempena dengan Sidang Kemuncak Penerbangan Filipina 2024.

Szucs berkata pesanan pertama dijadualkan diterima pada 2029.

Sementara menunggu pesawat itu diterima dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat penerbangan itu turut menanti 29 lagi pesanan tertunggak yang dilaksanakan sebelum ini dengan Airbus.

“Perjanjian pembelian ini mencerminkan keyakinan Cebu Pacific terhadap masa depan perjalanan udara dan komitmennya untuk memenuhi keperluan penumpang yang semakin berkembang.

"Kami mungkin menerima penghantaran ini dengan kontrak pajakan atau mungkin membiayainya menerusi institusi pembiayaan," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu syarikat yakin untuk meningkatkan perolehan kasarnya susulan pelaburan besar ini.

Menurutnya sebanyak 70 peratus daripada laluan itu berpangkalan di Filipina, justeru situasi seperti ketidakstabilan geopolitik tidak akan menjejaskan syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Penjualan Pesawat Komersial Airbus, Benoît de Saint-Exupéry yakin bahawa penambahan A321neo akan menyumbang kukuh kepada fasa pengembangan selanjutnya semua operator Airbus sebagai antara syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di Asia Pasifik.

“Cebu Pacific mengendalikan 61 pesawat kelompok A320 di rangkaian serantaunya yang luas. Selain itu, ia menerbangkan sembilan pesawat berbadan lebar A330 di laluan berkepadatan tinggi di rantau ini dan di Timur Tengah,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan