AM

LALUAN BAHARU BATIK AIR DARI SUBANG SKYPARK KE KOTA BHARU GUNA BOEING 737

02/10/2024 09:31 PM

KOTA BHARU, 2 Okt (Bernama) -- Batik Air hari ini mengumumkan pelancaran laluan baharu terus dari Subang SkyPark ke Kota Bharu dengan menawarkan perjalanan lebih cepat dan selesa menggunakan pesawat Boeing 737.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk M. Chandran Rama berkata perkhidmatan baharu itu dijadualkan bermula pada 21 Okt ini. 

Beliau mengakui teruja dengan laluan baharu itu kerana ia menghubungkan penumpang ke Kota Bharu yang terkenal dengan keindahan budaya, pemandangan menakjubkan dan kaya dengan warisan sekali gus menjadi destinasi menarik untuk pelancongan serta perniagaan.

“Kota Bharu menawarkan gabungan menarik antara kraf tradisional, kepelbagaian makanan tempatan dan tarikan alam semula jadi yang menjadikannya destinasi terbaik kepada pengembara.

“Laluan ini juga berfungsi sebagai alternatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menawarkan pilihan lebih mudah kepada penumpang untuk terbang dari Subang ke Kota Bharu serta akses ke bandar-bandar yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chandran berkata laluan baharu itu memperkukuhkan komitmen Batik Air untuk meningkatkan keterhubungan ke seluruh negara.

Beliau berkata laluan baharu ke Kota Bharu itu juga merupakan penambahan penting kepada perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan itu susulan kejayaan pelancaran semula perkhidmatan dari Subang SkyPark.

“Kami berbangga menawarkan kepada pelanggan kami penerbangan terus dari Subang SkyPark yang lebih mudah sekali gus memenuhi permintaan tinggi bagi perjalanan udara di rantau ini,” katanya. 

Beliau turut mengimbas perjalanan Batik Air, yang bermula sebagai Malindo Air pada 2013 dan ketika itu hanya beroperasi dengan dua pesawat ATR untuk laluan ke Pulau Pinang dan Kota Bharu.

 “Perkembangan terbaharu ini adalah gambaran kepada pertumbuhan dan cita-cita kami dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan rangkaian dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang,” katanya.

Laluan ke Kota Bharu itu merupakan perkhidmatan kedua Batik Air dari Subang SkyPark selepas kejayaan pelancaran laluan ke Pulau Pinang sekali gus bukti peningkatan ketara kepada rangkaian syarikat penerbangan itu ketika ia beralih daripada turboprop ke jet. 

Chandran berkata pihaknya juga merancang untuk mengembangkan perkhidmatan dari Subang SkyPark dengan memperkenalkan laluan tambahan ke destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan