AM

ISTANA PAHANG NAFI ISTIADAT PERKAHWINAN BABITKAN TENGKU HASSANAL

03/10/2024 06:40 PM

KUANTAN, 3 Okt (Bernama) -- Istana Pahang hari ini menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita.

Menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, maklumat tular menerusi aplikasi Instagram sejak 24 Sept lepas telah dimuat naik sendiri oleh pengguna platform dengan nama Farida.1111111 dan memperlihatkan kertas tertulis 'Istiadat Perkahwinan Diraja antara Tengku Hassanal dan Cik Farida Daud'.

Kesultanan Pahang memaklumkan perkara itu adalah palsu dan tiada kaitan dengan Tengku Mahkota Pahang atau Istana Pahang.

“Istana Pahang mengesan hantaran berbentuk fitnah yang dimuat naik individu tersebut dan meminta orang ramai tidak mempercayai sebarang kenyataan selain daripada portal rasmi Istana Pahang atau media sosial Kesultanan Pahang.

“Tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran di media sosial yang berbaur fitnah atau mengganggu-gugat keharmonian khususnya Istana Pahang,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan