AM

KADAR KEBOLEHPASARAN SISWAZAH UNIMAP LEBIH 97 PERATUS, NIKMATI GAJI PREMIUM

05/10/2024 03:25 PM

ARAU, 5 Okt (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada tahun lepas mencatatkan 97.7 peratus dengan kebanyakan mereka mendapat pekerjaan di syarikat multinasional.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata mereka menikmati gaji premium melebihi RM4,000 sebulan walaupun ketika itu baharu sahaja bergelar siswazah.

“Malahan baru-baru ini dalam lawatan kerja ke Singapura, saya berkesempatan berjumpa dengan dua alumni UniMAP yang bekerja sebagai jurutera di industri multinasional...oleh itu ibu bapa dan waris usah risau tentang masa hadapan anak-anak mereka kerana graduan UniMAP sentiasa menjadi rebutan pelbagai industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat kepada waris sempena minggu suai kenal pelajar sarjana muda sidang akademik 2024/2025 di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini hari ini.

Zaliman berkata UniMAP menawarkan program akademik berkualiti tinggi yang disokong oleh tenaga pengajar berdedikasi dan berpengalaman serta kemudahan lengkap dan moden untuk menyokong proses pembelajaran dan pengajaran seiring perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

"Aktiviti kokurikulum dan pembangunan sahsiah juga diberikan penekanan bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik, emosi dan sosial dalam memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan bakat terbaik negara serta memenuhi kehendak industri di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan UniMAP menerima sebanyak 2,059 pelajar baharu bagi mengikuti program pengajian di enam fakulti berdasarkan data kemasukan setakat semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 393 pelajar mengikut program di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik terdapat, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (361 pelajar) Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (251 pelajar).

Selain itu, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (149 pelajar), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (163 pelajar) dan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (742 pelajar). 

“Jumlah kemasukan pelajar baharu pada tahun ini melebihi tahun sebelumnya sekali gus membuktikan UniMAP semakin mendapat tempat di mata anak-anak muda,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan