EKONOMI

SYARIKAT E-DOMPET MOHON PENGECUALIAN SST UNTUK PERKHIDMATAN KEWANGAN DIGITAL DILANJUTKAN

07/10/2024 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengeluar E-Wang (AEMI) memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pelanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semasa untuk perkhidmatan kewangan digital dalam Belanjawan 2025 bagi mengekalkan pertumbuhan industri.

AEMI berkata, pelanjutan itu juga penting untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas sejajar dengan usaha Malaysia bagi membina sistem kewangan yang inklusif dan progresif.

“Persatuan ini mengiktiraf usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai bagi pembangunan negara dan percaya inisiatif itu akan terus menyokong pengembangan perkhidmatan tanpa tunai.

“Pengecualian SST pada masa ini adalah penting dalam menjadikan perkhidmatan kewangan digital lebih mampu milik, terutamanya untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan AEMI berharap lanjutan pengecualian ini akan terus memupuk keterangkuman digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan itu berkata industri e-dompet telah memainkan peranan penting dalam memajukan keterangkuman kewangan dan transformasi digital di Malaysia.

Ia berkata ahli-ahli AEMI telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kewangan digital kepada pangkalan pengguna yang pelbagai, termasuk kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Segmen-segmen ini adalah penting kepada ekonomi negara dan akan mendapat manfaat yang ketara daripada perkhidmatan tanpa tunai yang boleh diakses. Bagi mengekalkan momentum itu dan memastikan akses seluas-luasnya kepada penyelesaian kewangan digital, AEMI percaya adalah penting untuk mengekalkan dasar yang menggalakkan pertumbuhan dan keterangkuman,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan