AM

BELANJAWAN 2025: PERDA HARAP PROGRAM CERDIK STEM, TVET DI PERDA-TECH, SPEAR DIBERI PERHATIAN

07/10/2024 01:18 PM

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap pembangunan komuniti luar bandar khususnya di Pulau Mutiara itu dalam Belanjawan 2025.

Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum berkata sebagai agensi yang komited dalam memajukan komuniti luar bandar di Pulau Pinang, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan yang diharapkan dapat diberikan keutamaan. Ini bertujuan supaya inisiatif yang dirancang dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran, terutamanya B40, belia, dan usahawan.

“Pertamanya PERDA berharap Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada Program Luar Bandar Cerdik STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bertujuan memperkasakan sekolah-sekolah luar bandar serta menggalakkan lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam pendidikan berteraskan STEM.

“Program ini akan memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi cabaran teknologi masa hadapan serta meningkatkan literasi digital di kawasan luar bandar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan Program TVET dan TVET Tahfiz yang ditawarkan di PERDA-TECH dan berharap dana yang mencukupi bagi memastikan mereka dapat dilengkapi dengan kemahiran relevan seterusnya berdaya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

Mohd Asri memberitahu bahawa program berkenaan memberikan peluang kepada pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang teknikal sambil memperkukuhkan ilmu agama, justeru sekiranya peruntukan tambahan diberikan ia dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dari luar bandar untuk mendapat peluang belajar kemahiran di institusi tersebut.

Dalam usaha membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri, Mohd Asri berkata PERDA turut memberi keutamaan kepada Program Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR). 

Katanya peruntukan disalurkan akan membolehkan golongan itu memiliki rumah sendiri sejajar matlamat program iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan menyediakan perumahan mampu milik yang selesa dan berkualiti.

Di samping itu, PERDA juga berharap Belanjawan 2025 dapat memberi perhatian terhadap usaha mengukuhkan lagi Program Sokongan dan Pemerkasaan Usahawan (SPEAR), yang bertujuan membantu usahawan baharu di Pulau Pinang terutamanya dalam kalangan generasi muda melalui penyediaan peruntukan pembangunan usahawan. 

Melalui pelaksanaan program Mentor Mentee, Mohd Asri berkata usahawan baharu akan mendapat bimbingan yang berterusan untuk memastikan kejayaan mereka dalam mengembangkan perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Secara keseluruhannya, PERDA berharap inisiatif-inisiatif ini dapat memperkukuhkan pembangunan ekonomi, sosial, dan pendidikan komuniti luar bandar di Pulau Pinang, serta membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan