AM

NIOSH PERKENAL KURSUS BANTU TINGKATKAN KESIHATAN MENTAL PENJAWAT AWAM

07/10/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyokong penuh inisiatif kerajaan menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam menerusi program khas Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA).

NIOSH dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu sebagai antara pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk melatih penjawat awam menjadi penyedia bantuan awal psikologi di tempat kerja, yang juga menyokong pelaksanaan intervensi segera melalui pendekatan pencegahan, pemulihan dan penyelidikan bagi mengelak penjawat awam daripada terjerumus dalam kecelaruan mental yang lebih serius.

“Tekanan di tempat kerja boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti cara kerja diuruskan, faktor sosial, persekitaran kerja, peralatan serta pendedahan kepada bahaya. 

“Selain itu amalan buli di tempat kerja juga boleh menjadi penyebab utama masalah psikologi seperti yang digariskan di bawah piawaian ISO 45003:2021 mengenai Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Psikososial di Tempat Kerja,” menurut kenyataan itu.

NIOSH berkata pihaknya sedang melatih 10,000 peserta di bawah OPFA, yang dilaksanakan selama dua hari dengan fokus utamanya untuk memberikan kesedaran dan kemahiran asas kepada majikan dan pekerja mengenai isu psikososial agar mereka mampu mengenali serta menguruskan tekanan di tempat kerja. 

Selain itu melalui OPFA, majikan dan pekerja turut belajar mengesan tanda-tanda awal tekanan, membentuk mekanisme sokongan dan menangani isu tersebut sebelum ia menjadi lebih serius.

“Usaha yang diambil NIOSH itu selari dengan pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bahawa kerajaan akan menangani isu kesihatan psikologi dalam kalangan penjawat awam.

“Beliau turut mendedahkan lebih 40,000 pegawai awam dikenal pasti berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan psikologi berdasarkan dapatan daripada Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan sejak Mac hingga September 2024,” menurut kenyataan itu. 

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 2.3 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan, manakala kajian Relate Mental Health Malaysia 2018 mendapati 29 peratus pekerja mempunyai tahap kesihatan mental yang tidak memuaskan.

“Walaupun tidak dikaitkan secara langsung dengan tempat kerja, keperluan untuk memperbaiki kesejahteraan psikologi di tempat kerja semakin mendesak,” kata NIOSH.

NIOSH seterusnya menyeru majikan dan pekerja untuk menyertai kursus OPFA melalui sistem pendaftaran E-Daftar di pautan https://edaftar.niosh.net.my/mhfa bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam menangani tekanan kerja.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan