DUNIA

MAJORITI PENGUNDI KAZAKHSTAN SOKONG PEMBINAAN LOJI NUKLEAR PERTAMA

08/10/2024 12:25 AM

MOSCOW, 7 Okt (Bernama-dpa) -- Kazakhstan semakin hampir membina loji kuasa nuklear pertamanya selepas majoriti pengundi menyokong rancangan itu dalam referendum, meskipun terdapat kempen antinuklear yang lantang di republik Asia Tengah itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebanyak 71.1 peratus warganegara mengundi menyokong rancangan untuk membina loji kuasa nuklear di Tasik Balkhash berhampiran bekas ibu negara Almaty di tenggara negara itu, menurut Agensi Berita Kazinform yang memetik keputusan awal.

Kira-kira 63 peratus daripada 7.8 juta pengundi yang layak telah mengundi pada Ahad, menjadikan referendum tersebut sah, menurut maklumat rasmi.

Meskipun memiliki rizab minyak dan gas yang besar, Kazakhstan menghadapi masalah bekalan tenaga, dan penyokong rancangan nuklear ini telah lama menyeru pembinaan loji, dengan menekankan deposit uranium negara itu.

Kerajaan yang dipimpin oleh Presiden Kassym-Jomart Tokayev menyokong pembinaan loji nuklear ini, dan Tokayev menyifatkan referendum tersebut sebagai bersejarah ketika mengundi.

Kazakhstan, bekas republik Soviet, mempunyai gerakan antinuklear yang kuat akibat ujian nuklear Soviet yang dilakukan di padang rumput yang luas di negara itu.

Beberapa aktivis antinuklear ditahan sebelum referendum berlangsung, menurut aktivis hak sivil.

Hanya satu perempat penduduk Almaty, yang terletak berhampiran dengan loji yang dirancang, mengambil bahagian dalam referendum berkenaan.

Menjelang undian, kerajaan telah mempertimbangkan untuk memberikan kontrak pembinaan kepada syarikat asing, termasuk pengendali loji China CNNC, KNHP dari Korea Selatan, EDF dari Perancis, dan Rosatom dari Rusia.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan